4 lagi ditemukan dalam tanah runtuh Kg Cenderakasih

4 lagi ditemukan dalam tanah runtuh Kg Cenderakasih

Angka korban kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kota Kinabalu kini meningkat kepada lima orang.

Seramai 11 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih. (Gambar JBPM)
KOTA KINABALU:
Empat lagi mangsa ditemukan maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih di sini, menjadikan angka korban kini meningkat kepada lima orang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk setempat sedang mencari dua lagi mangsa yang dipercayai tertimbus.

“Sebanyak 11 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tanah runtuh itu, manakala empat mangsa berjaya keluar dari runtuhan dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada orang ramai pada 10.02 pagi. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di tempat kejadian pada 10.24 pagi.

Orang ramai tidak digalakkan ke tempat kejadian pada masa ini kerana kawasan itu masih berbahaya dan penduduk dinasihat untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Dalam kes berasingan, tiga lagi individu dilaporkan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh menghempap rumah di Kampung Marahang Tuntul, dekat Papar, pagi tadi.

JBPM Sabah memaklumkan dua mangsa tertimbus itu dijumpai penyelamat, namun nasib mereka belum diketahui.

“Kerja-kerja membawa keluar mangsa sedang dijalankan manakala seorang lagi mangsa belum dijumpai,” menurut kenyataan.

JBPM Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.20 pagi. Anggota Balai Bomba Penyelamat Papar digegaskan ke lokasi terletak sejauh 13km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.