Banjir: 197 mangsa berlindung di 2 PPS di Kuching

Banjir: 197 mangsa berlindung di 2 PPS di Kuching

PPS Dewan Masyarakat Stapok menempatkan 42 mangsa manakala 155 orang berlindung di PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru.

Pusat Penempatan Sementara
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini hingga esok. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 10 pagi tadi bagi menempatkan 197 mangsa banjir di sekitar bandar raya ini, susulan hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan PPS Dewan Masyarakat Stapok menempatkan 42 mangsa manakala 155 orang daripada 45 keluarga berlindung di PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru, menurut kenyataan.

Terdahulu, JBPM Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai situasi banjir melibatkan Taman Desa Wira dan Kampung Sinar Budi Baru pada 5 pagi tadi.

Semalam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini hingga esok.

MetMalaysia memaklumkan antara kawasan dijangka terkesan ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.