
Perunding kesihatan awam, Dr Lokman Hakim Sulaiman, berpandangan pengharaman akan memudahkan pihak berkuasa mengawal risiko itu.
“Jika vape haram lebih mudah kawal kerana boleh tumpu kepada penyeludupan,” katanya kepada FMT.
Beberapa negeri menyahut saranan polis supaya melarang penjualan vape, memandangkan vape dilihat mudah dimanipulasi dengan dimasukkan dadah-dadah baharu.
Pada Jun, polis mengumumkan ‘ancaman baharu’ susulan penemuan 4,958 katrij vape berisi cecair kokain ketika menyerbu satu sindiket.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, kokain sukar diperoleh di Asia Tenggara dan siasatan mendapati setiap kartrij boleh disedut sebanyak 100 kali.
“Pencemaran dadah dalam cecair vape risiko nyata, bukan setakat stigma,” tegas Lokman.
Pada Rabu, sebuah NGO iaitu Malaysian Organisation of Vape Entity berharap tiada lagi stigma mengaitkan vape dengan narkotik di sebalik gesaan pengharaman.
Presiden Samsul Kamal Ariffin berkata vape ialah peranti penghantaran seperti picagari atau ‘inhaler’ dan ia menjadi berbahaya apabila dicemari bahan terlarang di pasaran gelap jika rokok elektronik diharamkan.
Menurutnya, jika kerajaan benar-benar mahu melindungi generasi muda, hanya kawal selia boleh memastikan matlamat itu dicapai.
Lokman bagaimanapun mengingatkan risiko rokok elektronik bukan sekadar pencemaran dadah.
Katanya, vape sudah dikaitkan dengan risiko kecederaan paru-paru, atau ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI).
“Bagaimana boleh kata vape alternatif ‘lebih selamat’? Bila kata ‘lebih selamat’ maknanya masih tak selamat,” kata Lokman.
“Kalau rokok mengambil masa seabad utk kaitkan dengan masalah kesihatan, vape hanya dalam tempoh 10 tahun. Bayangkan 100 tahun akan datang.”
Risiko EVALI pernah ditonjolkan pada 2022, oleh menteri kesihatan terdahulu Khairy Jamaluddin.
Ketika itu, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik, menurut laporan.
Dua kes EVALI direkodkan pada 2019, manakala lapan kes dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 2021, lapor Berita Harian.
Pakar perubatan kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, turut menegaskan kebimbangan mengenai vape.
“Vape memberi kesan jangan panjang dan boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.