
Sarawak bergerak pantas mengubah masa depan tenaganya. Selepas bertahun-tahun menegaskan haknya, negeri itu kini menuntut syarat lebih baik dengan Petronas — langkah yang dilihat sebagai titik penting dalam hubungan persekutuan-negeri.
Penganalisis memberi amaran risikonya besar, dengan implikasi yang mampu mengubah keseluruhan ekosistem gas negara.
Persoalannya bukan sama ada Sarawak berhak mendapat lebih, tetapi berapa banyak, secepat mana, dan dengan syarat apa — tanpa meruntuhkan kerangka tenaga nasional.
Kes Sarawak
Sarawak menuntut kawalan lebih besar ke atas sumber gasnya sebagai sebahagian daripada usaha lama mencapai autonomi ekonomi.
“60% gas Malaysia terletak berdekatan dengan Sarawak, namun negeri itu hanya mendapat sebahagian kecil untuk kegunaan sendiri. Kira-kira 94% dieksport sebagai LNG, meninggalkan hanya 6% untuk penggunaan domestik,” kata penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani kepada New Straits Times baru-baru ini.

Beliau memberi amaran, tanpa peranan dalam pengagregatan gas, ketidakseimbangan itu akan berterusan sekali gus mengehadkan cita-cita Sarawak untuk mengembangkan industri mereka.
Namun, Jamil menekankan kerjasama mesti diutamakan berbanding konfrontasi. Sektor tenaga, katanya, bukan tidak memberikan kelebihan kepada semua pihak. Baik negeri mahupun negara akan rugi sekiranya sistem runtuh akibat tekanan bersaing.
Pengagregat tunggal
Sarawak mahu entiti milik negeri, Petros, bertindak sebagai pengagregat tunggal gas — membeli daripada pengeluar huluan dan menjual semula di peringkat hiliran. Langkah itu akan memberinya pengaruh besar dalam penetapan harga dan dasar, namun penganalisis memberi amaran ia mungkin tidak mampan dari segi struktur.
“Ini akan membolehkan Petros membeli gas huluan pada harga lebih rendah dan menjualnya di hiliran dengan margin lebih tinggi,” kata Jamil.
“Tetapi kontrak LNG sudah dimuktamadkan. Keadaan ini boleh menyebabkan Petronas menanggung kerugian besar dalam keadaan di mana mereka terikat dengan komitmen eksport jangka panjang.”
Penganalisis mencadangkan model bersama, dengan Petros bertanggung jawab dalam pengagihan dalam negeri, manakala Petronas mengekalkan kawalan ke atas pengeluaran huluan dan eksport LNG — sekali gus mengimbangi aspirasi negeri dengan kestabilan nasional.
Gas bertambah, hasil meningkat
Dua tuntutan utama Sarawak — bayaran tetap tahunan RM10 bilion dan peningkatan tiga kali ganda dalam bekalan gas — turut menjadi isu yang hangat diperbincangkan.
Keupayaan Petronas menyalurkan bayaran sebesar itu bergantung pada keuntungan sebenar pengagregat yang boleh berubah-ubah mengikut harga pasaran dan permintaan.
“Tiada syarikat tenaga boleh menjamin bayaran tetap berdasarkan pendapatan yang tidak tetap,” tulis bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim di X, sambil memberi amaran model sebegini boleh menyebabkan Petronas muflis.
Pendekatan yang lebih mampan adalah mengaitkan bayaran dengan prestasi sebenar — bukan ramalan.
Begitu juga, permintaan Sarawak untuk 1.2 bilion kaki padu gas sehari — meningkat daripada 450 juta sekarang — perlu disokong oleh permintaan sebenar dan bukan ramalan, kata Jamil.
“Permintaan perlu ada dahulu sebelum bekalan boleh berikan, bukan sebaliknya,” katanya.
Kejelasan undang-undang
Sarawak juga mahu Petronas memohon pengecualian lesen untuk beroperasi di negeri itu berdasarkan Ordinan Pengagihan Gas 2016 — satu permintaan yang kurang disenangi kerajaan persekutuan memandangkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 memberikan pemilikan dan kawalan pengawalseliaan semua sumber petroleum kepada syarikat minyak nasional itu.
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mengingatkan Parlimen bahawa PDA menetapkan kerangka undang-undang utama bagi industri petroleum Malaysia dan mengetepikannya, boleh menimbulkan pertindihan bidang kuasa dan ketidaktentuan pelabur.
“Apa yang perlu diselaraskan ialah keutamaan PDA serta kembali kepada dasar mesra pelabur,” kata Jamil kepada FMT. “Tiada perniagaan wajar dijadikan tebusan melalui senjata undang-undang.”
Langkah seterusnya
Penganalisis berkata bagi mencapai hasil menang-menang dalam rundingan ini, ia perlu berasaskan tiga prinsip:
- Satu model pengagregat bersama boleh diwujudkan, membolehkan Petros mengetuai aspek harga dan agihan domestik, manakala Petronas mengekalkan kuasa dalam semua hal lain.
- Keperluan gas Sarawak mesti didorong oleh permintaan sebenar, bukan anggaran. Manakala sebarang bentuk bayaran kepada negeri itu perlu berlandaskan keuntungan sebenar, bukanya jumlah komitmen tetap.
- Peranan undang-undang mesti dihormonikan, dengan PDA terus menjadi tunjang demi kelangsungan perniagaan minyak dan gas di negara ini.
Jika ditangani dengan berhemah, rundingan Petronas–Petros ini berpotensi menjadi model kerjasama persekutuan–negeri — yang mampu mengukuhkan Sarawak tanpa melemahkan Malaysia.