Anwar ke sidang tergempar Doha bincang serangan Israel

Anwar ke sidang tergempar Doha bincang serangan Israel

Sidang dihadiri oleh para pemimpin dan wakil negara anggota OIC.

pmo
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan tegaskan pendirian Malaysia pada sidang tergempar di Doha, susulan serangan Israel ke atas Qatar.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada Isnin ini bagi membincangkan serangan Israel terhadap negara itu.

Wisma Putra berkata perdana menteri akan diiringi Menteri Luar Mohamad Hasan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.

“Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam ini akan dihadiri oleh para pemimpin dan wakil-wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan akan didahului oleh Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam pada 14 Sept 2025,” menurut kenyataan.

Katanya, penyertaan perdana menteri menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar serta kesinambungan usaha Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman serta keganasan Israel.

Anwar dijadual menyampaikan kenyataan negara pada sidang kemuncak itu bagi menegaskan pendirian Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia akan terus terancam sekiranya Israel dibiarkan mencabuli undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara.

“Sidang kemuncak ini dijangka meluluskan satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara-negara anggota dalam menangani isu ini,” menurut kenyataan.

Pada Selasa lepas, Israel menyerang sebuah kawasan kediaman di Doha yang menempatkan pemimpin Hamas.

Serangan itu meragut nyawa lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar ketika mereka sedang membincangkan cadangan baharu daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan peperangan di Gaza.

Qatar bersama AS dan Mesir sebelum ini menjadi pengantara dalam rundingan bagi menamatkan peperangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.