Tutup laluan pengangkatan melalui JPN, gesa aktivis selepas kes pedofilia terbongkar

Tutup laluan pengangkatan melalui JPN, gesa aktivis selepas kes pedofilia terbongkar

Malaysia ada dua sistem pengangkatan selari, masing-masing punyai kelemahan tersendiri, namun proses melibatkan JPN didakwa lebih membimbangkan.

Hartini Zainudin
Hartini Zainudin dari Yayasan Chow Kit gesa reformasi undang-undang pengangkatan bagi melibatkan pengawasan badan kehakiman yang ketat dan penilaian kebajikan menyeluruh.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak kanak-kanak menyeru Putrajaya merombak undang-undang dan tatacara pengambilan anak angkat, bagi menangani kegagalan sistemik selepas sindiket didapati mengeksploitasi kelemahan undang-undang untuk melakukan penderaan seksual ke atas bayi.

Hartini Zainudin dari Yayasan Chow Kit berkata Malaysia mempunyai dua sistem pengangkatan selari, masing-masing mempunyai kelemahan tersendiri, namun mendakwa proses yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelihatan lebih membimbangkan.

Satu laluan untuk mengambil anak angkat adalah melalui mahkamah di bawah Akta Pengangkatan, kata Hartini. Seorang pegawai kebajikan masyarakat akan dilantik sebagai penjaga ‘ad litem’ untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan, melalui proses ini.

Katanya, mahkamah akan mengeluarkan perintah pengangkatan pada akhir proses undang-undang, yang mempunyai kesan memutus semua hubungan antara kanak-kanak itu dengan keluarga biologi.

Proses ini, walaupun terikat dengan undang-undang yang sudah lapuk, lebih dekat dengan piawaian antarabangsa semasa.

Laluan alternatif, di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan dan melibatkan JPN, membenarkan ibu bapa atau mereka yang mendakwa mempunyai hak penjagaan ‘de facto’ ke atas seorang kanak-kanak untuk mendaftarkan kanak-kanak itu dengan jabatan tersebut selepas dua tahun.

“Dalam proses ini pula, pengawasan kurang kerana tiada prosiding mahkamah, tiada pemeriksaan kebajikan yang kukuh, dan sangat sedikit penelitian latar belakang orang yang mengambil anak angkat,” katanya kepada FMT.

“Hak ibu bapa biologi tidak digugurkan sepenuhnya, bermakna kanak-kanak itu berada dalam zon samar dari segi undang-undang.”

Hartini mendakwa laluan ini terdedah pada penyalahgunaan, dan membolehkan kanak-kanak yang diperdagangkan, bayi tanpa dokumen, dan pemindahan tidak formal dalam kalangan ahli keluarga untuk disahkan tanpa perlindungan mencukupi.

Katanya, laluan ini membuka peluang kepada pedofil untuk memintas sistem mahkamah yang ketat, bagi mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak secara sah dengan pemeriksaan yang minimum.

Perkara pertama yang mesti dilakukan ialah menyatukan undang-undang pengambilan anak angkat negara, dengan menggabungkan sistem dwi-laluan ini dan meletakkan ia bawah undang-undang pengambilan anak angkat yang moden, kata Hartini.

“Tutup kelemahan ‘pengambilan anak angkat persendirian’ melalui JPN ini dengan mewajibkan pengawasan mahkamah bagi setiap kes. Wajibkan semakan daftar penjenayah dan pesalah seks untuk semua orang yang memohon anak angkat.”

Hartini juga menyeru agar lembaga atau suruhanjaya pengambilan anak angkat negara ditubuhkan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dengan kuasa untuk ia menyelaras antara mahkamah, JPN, polis dan Suhakam.

Menurut aktivis itu, pengawasan pengambilan anak angkat pada masa ini terbahagi antara mahkamah, JPN dan JKM, dengan JKM hanya tertumpu pada aspek kebajikan.

“Tiada badan pusat untuk pengambilan anak angkat atau pemeriksaan silang mandatori melibatkan pangkalan data penjenayah atau pesalah seks,” kata Hartini.

Bulan lalu, Bukit Aman membongkar sindiket diketuai seorang dalang yang didakwa merakam dirinya mendera kanak-kanak dan bayi secara seksual, dan menjual video tersebut kepada pembeli tempatan dan asing terpilih.

Suspek, 29, didakwa mendapatkan ‘bekalan’ mangsa melalui hantaran di Facebook yang menawarkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat. Polis mendakwa dia memperoleh hak penjagaan mangsa-mangsa dengan mengambil mereka sebagai anak angkat secara sah.

Video-video mangsa yang didera secara seksual kemudian dijual kepada pembeli melalui aplikasi pesanan Telegram dan di ‘dark web’.

Tiga kanak-kanak dan dua bayi diselamatkan dan diletakkan bawah jagaan JKM selepas sindiket itu dibongkar, manakala 10 individu — dua wanita Malaysia dan lapan warga asing — ditangkap untuk membantu siasatan.

Undang-undang anak angkat lapuk

Hartini berkata kedua-dua Akta Pengangkatan dan Akta Pendaftaran Pengangkatan digubal pada 1950-an, sebelum isu seperti pemerdagangan manusia, pedofilia, dan pergerakan kanak-kanak rentas sempadan menjadi kebimbangan serius.

Beliau berkata pengangkatan pada zaman moden mesti disokong oleh dokumentasi yang jelas dan tertakluk pada penelitian badan kehakiman dan penilaian kebajikan yang tuntas — dengan laluan disediakan untuk melaporkan kebimbangan.

“Prinsipnya mestilah demi kepentingan kanak-kanak, selaras piawaian Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-kanak. Pemantauan selepas pengangkatan mesti ada, dan bukan hanya pemeriksaan sekali sahaja selepas pengangkatan.

“Kes ini bukan hanya tentang kekurangan tatacara. Kes ini lantaran undang-undang kuno, sistem yang terbahagi, dan ketiadaan iltizam politik untuk memodenkan rangka kerja pengangkatan dan perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun, Hartini mengingatkan daftar pesalah seks sedia ada tidak didedahkan kepada umum, kerana bimbang individu-individu mengambil undang-undang di tangan sendiri (vigilantism) dan gangguan.

“Senarai awam yang menyeluruh akan melabelkan semua orang dengan label yang sama, walaupun mereka mempunyai risiko rendah untuk mengulangi kesalahan, terutama jika pelaku berumur bawah 18 tahun. Ia berbeza daripada pesalah yang berumur atas 18 tahun.

“Namun begitu, daftar yang terbaik tidak berguna jika laluan pengangkatan itu sendiri adalah telap. Tanpa mereformasi sistem dwi-laluan, pemangsa akan sentiasa mencari bahagian yang paling lemah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.