
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata pihaknya menerima aduan daripada pemilik sebenar MyKad itu yang menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian.
Badrul berkata siasatan dan risikan dijalankan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai mengambil kesempatan ke atas kehilangan MyKad milik mangsa.
“Hasil siasatan mendapati MyKad milik pengadu digunakan untuk menebus BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik sebenar.
“Suspek ditahan pada jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Baru, Sungai Lerek, Negeri Sembilan,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.
Kata Badrul, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya bagi tujuan tidak sah.
Menurutnya, proses pendakwaan dijangka dilaksanakan selepas siasatan dilengkapkan.