Tiada masalah Pemuda PAS usul terajui PN, kata sayap Bersatu

Tiada masalah Pemuda PAS usul terajui PN, kata sayap Bersatu

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid berkata Pemuda PAS bebas bentang dan lulus usul mesyuarat agung parti.

Harris Idaham Rashid
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid, berkata yang penting semua parti PN menghormati gabungan dan memastikan semua keputusan dicapai di Majlis Presiden PN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid tidak melihat usul Pemuda PAS yang mahu parti itu memimpin gabungan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menerajui kepimpinan utama negara sebagai satu masalah.

Beliau berkata, Pemuda PAS bebas membentangkan apa-apa usul dirasakan perlu dan meluluskannya.

“Sama juga Bersatu mempunyai hak untuk meluluskan usul menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri dalam perhimpunan agung tahunan lalu.

“Yang penting kita perlu menghormati gabungan PN dan memastikan semua keputusan dicapai sebulat suara di Majlis Presiden PN,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, usul itu dibacakan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan diluluskan sebulat suara perwakilan untuk dibentangkan pada Muktamar PAS ke-71.

“Inilah masanya PAS perlu memimpin PN…inilah masanya PAS menerajui kepimpinan negara.

“Pemuda PAS tegas mendesak usul ini dapat dibaca sehingga ke muktamar pusat,” katanya ketika membentangkan usul itu sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-66 di Kompleks PAS Kedah.

Usul itu antara empat diluluskan sebulat suara Pemuda untuk dibawa ke Muktamar PAS bermula Isnin.

Tiga lagi usul lulus berkait memperjuangkan isu Palestin, mempertahankan hak negeri dalam sumber nadir bumi serta menolak Rang Undang-undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.