
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata cadangan itu bukan semata-mata kerana angka sebaliknya simbol keyakinan PAS terhadap kemampuan anak muda.
Katanya, kehadiran anak muda bukan sekadar untuk memanaskan pentas pilihan raya tetapi latihan dan tarbiah politik dalam melahirkan pemimpin masa depan.
“Pemuda PAS melihat Sabah bukan sebagai kerusi tambahan, tetapi amanah besar membela marhaen di Borneo. Kehadiran calon muda PAS di Sabah adalah tanda kita mahu membina politik baharu politik yang bersih, politik solusi, politik rakyat.
“Anak-anak muda Sabah mesti diberi ruang untuk berani memimpin kerana di bahu mereka terletak masa depan negeri itu,” kataya dalam ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-66 di Kompleks PAS Kedah.
Afnan berkata, PRN Sabah tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan sekadar gelanggang pilihan raya tambahan buat PAS sebaliknya medan strategi untuk menentukan hala tuju politik negara.
Katanya, PRN perlu menjadi teras kekuatan perubahan dan PAS perlu memastikan penduduk Sabah turut merasai perjuangan parti tersebut di negeri itu bukan semata-mata di Semenanjung.
“Sabah bukan hanya sebuah negeri, tetapi medan ujian sama ada politik Islam mampu diterjemahkan dalam konteks Borneo. Pemuda PAS juga melihat Sabah bukan sebagai kerusi tambahan, tetapi amanah besar dalam kita membela marhaen di Borneo,” katanya.
Tempoh penggal semasa DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.