G25 cadang peguam cara negara jadi pendakwa raya interim

G25 cadang peguam cara negara jadi pendakwa raya interim

Langkah interim itu bagi reda kebimbangan berlakunya konflik kepentingan ketika proses pisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

agc
G25 menggesa penubuhan satu suruhanjaya bebas untuk mencadangkan pelantikan peguam negara dan pendakwa raya.
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi G25 menggesa kerajaan melaksanakan langkah interim sebagai persediaan untuk memisahkan jawatan peguam negara dan pendakwa raya, termasuk mengembalikan peranan peguam cara negara sebagai pendakwa raya de facto.

G25, yang dianggotai bekas pegawai kanan perkhidmatan awam, berkata langkah interim itu dapat meredakan kebimbangan berhubung konflik kepentingan dalam mengubah tanggungjawab peguam negara.

“Satu lagi langkah interim adalah menubuhkan panel semakan bagi memantau keputusan pendakwaan,” kata kumpulan itu.

Kenyataan G25 itu susulan pengumuman kerajaan bahawa peranan peguam negara dan pendakwa raya akan dipisahkan di bawah cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ini peguam negara adalah ketua penasihat undang-undang kerajaan dan juga pendakwa raya, dengan kuasa membuat keputusan berhubung pendakwaan.

Peguam cara negara pula adalah jawatan kedua tertinggi di Jabatan Peguam Negara dan sebelum ini merupakan ketua litigasi kerajaan dan bertindak sebagai pendakwa raya de facto.

G25 turut menggesa penubuhan sebuah suruhanjaya bebas untuk mencadangkan pelantikan peguam negara dan pendakwa raya, berbanding keputusan dibuat sepenuhnya atas budi bicara perdana menteri.

“Kedua-dua jawatan ini juga perlu dijamin melalui peruntukan perlembagaan dengan prosedur pemecatan yang sama seperti hakim Mahkamah Persekutuan, supaya mereka dapat melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata G25.

Kumpulan itu turut mencadangkan supaya kerajaan memperluas keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kepada ahli Majlis Peguam dan ahli akademik bagi menjadikan badan berkanun itu lebih telus.

Katanya, langkah-langkah tersebut akan melindungi badan kehakiman daripada campur tangan politik, selain menjawab desakan sejak sekian lama untuk mereformasi sistem kehakiman negara.

Terdahulu hari ini, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan mendedahkan draf rang undang-undang berkenaan apabila ia siap dan memberikan masa mencukupi untuk maklum balas awam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Disember lalu berkata Jemaah Menteri menerima cadangan untuk memisahkan dua peranan yang kini digalas oleh peguam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.