Air zam-zam, cecair vape RM3.42 juta dirampas di Johor

Air zam-zam, cecair vape RM3.42 juta dirampas di Johor

Jabatan Kastam Johor merampas 7,680 unit cecair vape disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.

air zam zam Zon Bebas Pelabuhan Johor bulan lalu. (Gambar JKDM Johor)
Air zam-zam tanpa permit import yang ditemui dalam kontena di Zon Bebas Pelabuhan Johor bulan lalu. (Gambar JKDM Johor)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam Johor merampas lebih 100,000 liter air zam-zam dan ribuan cecair vape yang keseluruhannya bernilai RM3.42 juta, termasuk cukai dan duti.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata kejayaan itu hasil pemeriksaan kontena di Zon Bebas Pelabuhan Johor dan sekatan lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

Bagi kes pertama pada 5 Ogos lalu, Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang menahan sebuah kontena sebelum menyita tiga lagi kontena pada 14 Ogos lalu di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor.

Beliau berkata, sebanyak 21,582 botol atau 107,910 liter air zam-zam tanpa permit import ditemui.

“Air zam-zam adalah barang larangan dan hanya boleh diimport dengan lesen mengikut Butiran 35, Bahagian I, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah kes itu disiasat mengikut Peraturan 30(1), Peraturan Zon Bebas 1991.

Aminul berkata, barang dalam kontena itu diikrar sebagai Holy Water/ordinary water, dengan nilai dagangan dianggarkan RM2.58 juta, manakala jumlah duti serta cukai berjumlah RM647,460, menjadikan keseluruhannya RM3.23 juta.

Kes kedua pada 6 Ogos lalu, beliau berkata, Unit Mesin Pengimbas, Customs Border Management (CBM) Cawangan Eksport Stesen Gelang Patah mengesan imej mencurigakan sebuah lori di Bay Pemeriksaan Eksport KSAB.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui 7,680 unit cecair rokok elektronik disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu dan 84 Bobbins Automotive Wire yang diikrarkan dalam Borang Kastam 2.

Menurutnya, lori bernilai RM130,000 itu disita, menjadikan keseluruhan rampasan kes kedua berjumlah RM185,576 termasuk cukai dan kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.