
Ketua Polis Miri Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata mangsa berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar pegawai National Scam Response Centre (NSRC) dan mendakwa dia terlibat sindiket penipuan.
“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis IPD Kuantan.
“Suspek memaklumkan kononnya wanita itu perlu membuat pengesahan harta dengan memindahkan semua wang simpanannya ke akaun bank tertentu bagi tujuan audit,” katanya menurut Bernama.
Farhan berkata, mangsa yang tertipu dengan helah tersebut kemudian membuat beberapa transaksi pemindahan wang melalui kaunter bank keseluruhan RM588,000 dan hanya menyedari ditipu selepas suspek berulang kali meminta bayaran tambahan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Masyarakat dinasihatkan lebih berwaspada, tidak panik, dan tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon walaupun pemanggil mendakwa daripada agensi rasmi.
“Orang ramai diminta menyemak kesahihan sebarang panggilan mencurigakan melalui saluran rasmi dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.