
Perkara itu dimaklumkan peguam S Priyalatha yang mewakili tertuduh juvana berusia 14 tahun selepas sebutan kes di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil, dijalankan dalam prosiding tertutup.
“Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen pada 9 Okt ini. Sama ada pihak kami akan mengemukakan representasi atau mengambil tindakan lain, kita tunggu dokumen berkaitan tertuduh daripada pihak pendakwaan,” katanya menurut Kosmo.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk jatuh hukum dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tertuduh menukar kepada pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri.
Mahkamah kemudian membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin seperti jumlah ditetapkan sebelum ini.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di Kajang pada 4.48 petang 28 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini media melaporkan, berang ditegur kerana ponteng kelas punca pelajar lelaki bertindak menumbuk muka seorang guru dalam kejadian di sebuah sekolah menengah.