PAT Bersatu hanya kecewakan kelompok gagal capai agenda, kata pemimpin

PAT Bersatu hanya kecewakan kelompok gagal capai agenda, kata pemimpin

Ketua Penerangan Pemuda Harris Idaham Rashid tolak dakwaan exco sayap Meor Naqiuddin yang platform itu tidak membincangkan agenda untuk rakyat.

Harris Idaham Rashid n Meor Naqiuddin
Ketua Penerangan Pemuda Harris Idaham Rashid tolak dakwaan exconya Meor Naqiuddin berkait Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.
PETALING JAYA:
Kekecewaan disuarakan seorang pemimpin Pemuda terhadap Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hujung minggu lalu mungkin berpunca daripada kegagalan sesetengah kelompok mencapai agenda mereka.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid menolak dakwaan exco sayap Meor Naqiuddin, platform itu tidak membincangkan agenda untuk rakyat.

Harris menegaskan dalam persidangan sayap itu, pelbagai isu dibincangkan termasuk kemiskinan bandar, keselamatan awam, ekonomi anak muda, teknologi hijau, rasuah dan pendidikan.

“PAT ini mengecewakan hanya kepada golongan yang agendanya tidak tercapai melalui PAT.

“Kepada perwakilan yang mahukan ketetapan parti terhadap isu nama calon perdana menteri, perkara itu telah pun dilunaskan ketika PAT. Isu-isu rakyat juga hangat diperdebatkan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Meor yang menyifatkan PAT sebagai ‘mengecewakan’ kerana kurang perbincangan mengenai aspirasi Bersatu.

Meor sebelum ini dipetik berkata, perhimpunan agung yang sepatutnya menjadi medan membincangkan aspirasi, dasar dan sasaran parti untuk dinilai rakyat telah bertukar menjadi pentas membodek pemimpin.

Dakwanya, sudah tiga kali berturut-turut pentas PAT Bersatu dijadikan gelanggang drama politik yang sehingga kini tidak berkesudahan.

Beliau merujuk usul berkaitan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti, yang kini turut diangkat sebagai calon perdana menteri Bersatu pada PRU16.

Sementara itu, Harris yang juga ketua bahagian Balik Pulau membidas dakwaan wujudnya akuan berkanun (SD) bagi mendesak perubahan kepimpinan parti sambil menyifatkan ia tidak lagi relevan selepas PAT selesai.

Beliau turut menegaskan, laungan ‘Hidup Tan Sri’ ketika PAT menunjukkan pengaruh besar Muhyiddin dalam Bersatu.

“Sekiranya Muhyiddin lemah, pada pemilihan yang lepas sudah ada yang mencabarnya. Pencalonan untuk jawatan presiden dibuka untuk pertandingan.

“Paling penting PAT sudah berakhir dan ketetapan utama PAT adalah Muhyiddin calon perdana menteri daripada Bersatu untuk diangkat dan diputuskan Majlis Presiden Perikatan Nasional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.