
Ketua Polis Terengganu Khairi Khairuddin berkata, walaupun pihaknya belum terima sebarang laporan ugutan melibatkan individu atau fasiliti Petronas di negeri itu, beliau mengarahkan ketua polis Kemaman untuk memperketat kawalan keselamatan di fasiliti Petronas di daerah tersebut.
New Straits Times melaporkan Khairi berkata, terdapat enam fasiliti penapisan minyak di Kemaman, selain aset-aset Petronas yang lain seperti stesen minyak.
Katanya, polis juga akan beri tumpuan kepada fasiliti lain yang jika disasarkan, berpotensi menggugat ketenteraman awam.
Menurut Khairi, arahan itu dikeluarkan berikutan perintah Ketua Polis Negara Khalid Ismail agar semua kontinjen negeri diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi.
Langkah ini diambil susulan mesej teks berbaur ugutan yang dihantar kepada seorang pegawai Petronas, mendorong Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan kawalan diperketat di semua fasiliti LNG di Bintulu.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum ini berkata, mesej teks itu dihantar dari nombor telefon berdaftar di Indonesia.
Menurutnya, penghantar mesej itu pada mulanya membuat ‘permintaan khusus’ kepada pegawai Petronas terbabit, namun tidak diendahkan.
“Oleh kerana tiada maklum balas, dia mengugut untuk membakar fasiliti LNG kita, tetapi tidak tahu yang mana satu,” kata Fadillah pada Selasa.
Khalid hari ini berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat daripada Polis Republik Indonesia (Polri) mengenai identiti pemilik nombor telefon berdaftar di negara itu.
“Polis sedang bekerjasama dengan semua agensi di dalam negara berkaitan kes terbabit termasuk Petronas serta pasukan keselamatan negara jiran dan ia dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.