Fitnah YDP Sabah berkait Zara, suri rumah didenda RM10,000

Fitnah YDP Sabah berkait Zara, suri rumah didenda RM10,000

Asmaziah Sedek mengaku salah guna akaun Facebook 'Ash Qiey' memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya.

Tertuduh diperintah dipenjara oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selama dua bulan jika gagal bayar denda. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Suri rumah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membuat satu hantaran palsu dan berbaur fitnah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah di Facebook, berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, Julai lalu.

Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Asmaziah Sedek, 32, dan memerintahkan wanita itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Asmaziah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya menerusi akaun Facebook ‘Ash Qiey’ dengan niat mengganggu orang lain, pada 9.21 malam, 29 Julai.

Hantaran komunikasi tersebut telah dibaca Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah Abdullah Hussin di kediaman Yang Dipertua Negeri Sabah, Sri Anggerik, Luyang, pada 10 pagi, 31 Julai.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, kerana telah menyebarkan berita palsu melibatkan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Asmaziah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan tidak bekerja, selain suaminya baru mendapat kerja serta tinggal jauh daripadanya dan anak-anak.

“Saya harap hukuman denda saya diringankan kerana saya juga mempunyai anak berusia lapan bulan yang masih menyusu dan seorang anak yang bersekolah di sekolah rendah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.