Ujian DLP Sarawak boleh jadi kajian kembalikan UPSR, kata ahli akademik

Ujian DLP Sarawak boleh jadi kajian kembalikan UPSR, kata ahli akademik

Anuar Ahmad dari UKM berkata peperiksaan akhir bagi murid Tahun 6 wajar dikembalikan sebagai pentaksiran berpusat bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid dalam kemahiran asas 3M.

sekolah rendah
Sarawak akan melaksanakan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) pada 15 dan 16 Okt untuk menilai murid Tahun 6. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) di Sarawak bulan depan, boleh dijadikan kajian kes untuk pertimbang mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang dimansuhkan empat tahun lalu, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad berkata beliau setuju dengan pendekatan Sarawak itu sebagai pentaksiran berpusat bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid dalam kemahiran asas 3M – membaca, menulis dan mengira – sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Anuar yang juga timbalan pengarah Institut pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM) berpandangan UPSR tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya ditambah baik dengan memberi fokus hanya kepada empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, manakala subjek lain boleh dinilai melalui pentaksiran bilik darjah.

“Kita perlukan satu ‘checkpoint’ standard untuk semua murid. Jika ada kelemahan, intervensi boleh dilakukan sebelum mereka ke sekolah menengah,” katanya kepada FMT, menyokong tindakan kerajaan Sarawak melaksanakan UP-DLP pada 15 dan 16 Oktober depan melibatkan murid Tahun 6 di sekolah yang melaksanakan program DLP.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dr Annuar Rapaee dipetik berkata UP-DLP akan digunakan sebagai panduan bagi kerajaan mengenal pasti sekolah memerlukan bantuan dan sokongan tambahan bukan bersaing antara satu sama lain seperti peperiksaan awam lain.

Mengulas lanjut, Anuar berkata ujian itu memberi fokus kepada guru untuk memastikan murid menguasai 3M sebelum tamat sekolah rendah, sekali gus menjadi motivasi tambahan dalam pembelajaran.

Beliau menegaskan punca sebenar isu UPSR sebelum ini adalah penyalahgunaan fungsinya yang dijadikan sebagai alat perbandingan antara sekolah dan negeri, bukan untuk mengukur pencapaian murid itu sendiri.

Beliau khuatir jika masalah 3M tidak ditangani dengan baik ia akan memudarkan semangat murid yang tercicir untuk perbaiki akademik di peringkat sekolah menengah, sekali gus menyebabkan murid berkenaan terus tercicir.

“Jika dari sekolah rendah kita tak atasi masalah 3M, bagaimana mereka nak mengikuti silibus yang lebih susah di sekolah menengah?

“Bila murid itu lihat dia merosot dari segi akademik, lama-kelamaan mereka hilang motivasi dan akhirnya ramai labi pelajar keciciran atau tidak berminat untuk ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Marzuki Wan Jaafar menyifatkan langkah Sarawak boleh dijadikan kajian kes, namun sebarang keputusan untuk mengembalikan UPSR mesti berpandukan dasar sedia ada dan melalui kajian menyeluruh.

“Jika ada keperluan memperkenalkan semula instrumen berpusat, ia harus melalui kajian terperinci agar keputusan itu tepat untuk semua murid dan ekosistem pendidikan negara,” katanya.

Ditanya sama ada negeri lain wajar mengikut jejak Sarawak, beliau berkata perkara itu bergantung pada konteks masing-masing, namun ujian seperti UP-DLP perlu berfungsi sebagai pentaksiran diagnostik, bukan alat persaingan.

Beliau juga berpendapat UPSR dalam bentuk lama tidak wajar dikembalikan buat masa ini, sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada pemantapan pentaksiran bilik darjah dan intervensi berkesan untuk pembangunan murid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.