‘Tanya Azmin’, Wee elak jawab soalan tentang pertemuan tidak rasmi PN

‘Tanya Azmin’, Wee elak jawab soalan tentang pertemuan tidak rasmi PN

Presiden MCA bertanya mengapa soalan itu ditujukan kepadanya sedangkan Azmin Ali yang membuat dakwaan terbabit.

mohamed azmin ali
Setiausaha Agung PN Azmin Ali mendakwa gabungan itu telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan MCA dan MIC.
KUALA LUMPUR:
Presiden MCA Wee Ka Siong mengelak daripada menjawab soalan berhubung pertemuan tidak rasmi antara partinya, MIC dan Perikatan Nasional (PN).

Ditanya mengenai pendedahan Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, Wee memberitahu pemberita: “Tanya dia. Kenapa tanya saya? Dia yang cakap… Kalau dia mahu bercakap, biarlah dia bercakap.”

Terdahulu dilaporkan PN telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan MCA dan MIC, kedua-duanya parti komponen Barisan Nasional (BN).

Azmin berkata kedua-dua parti itu mengakui dasar diperkenalkan di bawah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin adalah adil dan inklusif.

MCA dan MIC merupakan komponen lama BN yang diterajui Umno, rakan penting dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

BN juga pernah menjadi sekutu utama dalam kerajaan Muhyiddin, apabila memberi sokongan kepada presiden Bersatu itu untuk jawatan perdana menteri selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Pada Jun lalu, Wee berkata 191 bahagian partinya akan membincangkan hala tuju masa depan MCA berikutan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan pengaruh dalam kerajaan dan akan membentangkan cadangan mereka pada mesyuarat agung tahunan Oktober ini.

MIC turut menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik demi memastikan kelangsungan parti serta berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat India.

Namun begitu, Pengerusi BN Zahid Hamidi baru-baru ini menegaskan pimpinan tertinggi MCA dan MIC tidak pernah membincangkan soal meninggalkan gabungan itu dengannya.

Keadaan menjadi hangat apabila Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan menghadiri perhimpunan agung tahunan Pemuda Bersatu hujung minggu lalu sebagai wakil sayap parti terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.