Pendaftaran kad SIM prabayar akan guna MyDigital ID

Pendaftaran kad SIM prabayar akan guna MyDigital ID

Langkah itu bertujuan perkukuh keselamatan dan tangani kelemahan sistem sedia ada.

MYDIGITALID APP
Pendaftaran kad SIM prabayar guna MyDigital ID akan ada beberapa aspek keselamatan yang lebih baik.
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan mewajibkan semua pendaftaran kad SIM prabayar menggunakan MyDigital ID menjelang akhir tahun ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh keselamatan dan menangani kelemahan sistem sedia ada, termasuk jumlah kad SIM boleh didaftarkan bawah satu nama yang sangat tinggi.

“Jadi dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR) berlangsung semalam, ada dibincang aspek pendaftaran kad SIM,” katanya pada sidang media di kementerian.

“Syarikat telco akan diarah untuk memastikan proses pendaftaran bagi kad SIM prabayar ini akan juga guna pakai pendaftaran menggunakan MyDigital ID. Dijangkakan menjelang hujung tahun … mungkin November atau Disember (ini).”

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai usaha kerajaan mengetatkan pengesahan umur di platform media sosial seperti TikTok berisiko gagal jika Malaysia tidak terlebih dahulu menangani kelemahan dalam sistem pendaftaran kad SIM.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, kebimbangan terhadap ancaman dalam talian kepada kanak-kanak adalah perlu, tetapi masalah sebenar terletak pada ‘pintu masuk’ akses internet dan ketersediaan meluas kad SIM yang didaftarkan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, pendaftaran menggunakan MyDigital ID akan ada beberapa aspek keselamatan yang lebih baik.

Katanya, aspek keselamatan itu adalah salah satu cara untuk menutup kelompangan yang ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.