
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata langkah strategik itu diambil susulan laporan diterima daripada penduduk dan ahli jawatankuasa (AJK) surau kawasan terbabit berhubung satu petisyen dibangkitkan di taman perumahan berkenaan.
“Setakat ini, suspek belum ditangkap, tetapi telah dibuat senarai pekeliling khas untuk memastikan dia tidak terlepas keluar dari Malaysia. Usaha dijalankan untuk mengesan dan tangkap suspek.
“Apabila didaftarkan bawah senarai pekeliling khas ini, mereka akan menghadapi kesukaran keluar negara. Sebab nama suspek didaftarkan di lapangan terbang. Sekiranya ada, tangkapan akan dibuat,” katanya selepas Larian Diraja Selangor bersama Polis dan Masyarakat di Elmina Lakeside Mall, di sini.
Terdahulu, Shazeli mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyempurnakan upacara pelepasan larian kira-kira 8,000 peserta.
Beliau berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, selepas siasatan awal mendapati wujud elemen kesalahan dilakukan penghuni di taman itu.
Setakat ini, pihaknya telah merakam percakapan beberapa individu, termasuk wakil komuniti setempat terkesan dengan isu itu bagi membantu melengkapkan fail kes.
Menurutnya, seorang individu daripada pejabat ahli majlis juga tampil memberi keterangan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai sudut.
“Suspek ini memang kita belum berjumpa dan akan dipanggil membantu siasatan secepat mungkin. Sekiranya masyarakat mengetahui keberadaan beliau, sila berhubung dengan IPD Ampang supaya kita dapat selesaikan siasatan,” katanya sambil menambah siasatan belum lengkap dan polis sedang meneliti motif sebenar.
Shazeli menasihatkan orang ramai elak melalukan kesalahan menjurus kepada Akta Hasutan, termasuk mengawal emosi ketika membuat sebarang tindakan dan penyampaian secara bertulis.
Terdahulu, jawatankuasa sebuah surau di Ampang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah Jumaat lalu susulan dakwaan terdapat pihak membuat bantahan terhadap pengurusan rumah ibadat itu membabitkan azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.
Antara perkara menimbulkan ketegangan termasuk dakwaan laungan azan mengganggu mereka, selain meminta solat berjemaah dihentikan.