SKMM teliti pelbagai kaedah sah umur untuk media sosial

SKMM teliti pelbagai kaedah sah umur untuk media sosial

Teo Nie Ching berkata, SKMM sedang adakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Meta, Google dan TikTok.

Teo Nie Ching bernama pic 7226
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, SKMM terbuka terima atau pertimbang kaedah lain sah umur pengguna media sosial. (Gambar Bernama)
KULAI:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, SKMM ketika ini telah mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Meta, Google dan TikTok bagi menentukan kaedah bersesuaian.

Beliau berkata, proses berkenaan dijalankan bersama dengan platform media sosial terlibat melalui medan uji (regulatory sandbox).

“Di Malaysia, kita memang ada (kaedah pengesahan umur seperti) kad pengenalan, pasport serta MyDigital ID,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Serahan Sumbangan Masjid dan Surau Parlimen Kulai Sempena Ramadan hari ini.

“Tetapi, pada masa sama, SKMM turut terbuka untuk menerima atau mempertimbangkan kaedah lain untuk pengesahan umur.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung perkara itu.

Kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.

Sementara itu, Indonesia akan menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula 28 Mac ini.

Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sebanyak RM93,000 peruntukan sumbangan disalurkan kepada 30 masjid dan 57 surau di kawasannya bersempena dengan Ramadan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.