
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan itu sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan satu pencabulan serius undang-undang antarabangsa.
“Serangan tidak berperikemanusiaan ini bukan sahaja mengancam nyawa orang awam, malah ia menyasarkan ibu kota sebuah negara berdaulat. Ia berpotensi menyalakan api ketegangan di rantau yang sedia rapuh,” katanya dalam kenyataan.
Anwar menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan agresif yang keterlaluan itu.
Menerusi laporan antarabangsa, Hamas mengesahkan lima anggotanya terbunuh dalam serangan udara Israel di ibu negara Qatar itu namun menambah, percubaan untuk membunuh pasukan perundingnya gagal.
Kumpulan pejuang Palestin itu berkata, pasukan perunding bermesyuarat untuk membincangkan cadangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata di Gaza, di perkarangan sebuah kediaman di Doha apabila ia disasarkan dalam serangan Israel.
Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata tindakan Israel itu telah melanggar undang-undang antarabangsa serta kedaulatan sebuah negara berdaulat.
“Tindakan ini adalah jenayah perang yang mesti ditentang oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
PAS turut menyatakan solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin dan Hamas yang terus mempertahankan tanah air mereka daripada genosid Zionis.
“PAS menyeru dunia Islam, negara-negara OIC dan masyarakat antarabangsa bersatu menekan Israel agar menghentikan serangan, serta mengajak umat Islam di Malaysia memperkukuh doa dan sokongan kepada perjuangan Palestin,” katanya.