
Menurutnya, tahap keselamatan negara sentiasa terjamin hasil kerjasama rapat agensi penguat kuasa dan negara jiran.
“Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, perjuangan di Palestin sememangnya dekat di hati rakyat.
“Atas sebab itu, kita sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Palestin, bagaimanapun agensi keselamatan tetap berwaspada supaya semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Bukit Aman.
Terdahulu, media melaporkan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, Jonathan Schanzer mendakwa Malaysia sudah lama menjadi pusat operasi Hamas dan menuduh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.
Kritikan itu menyusul tindakan Anwar mengulangi pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa hubungan dengan Israel diputuskan kerana menghancurkan Gaza dan merampas Tebing Barat.
Khalid berkata, pihak berkuasa akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan serantau bagi memastikan tiada pihak menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi.
Menurutnya, pihak berkuasa juga tidak akan berkompromi dalam isu ancaman keganasan, penyeludupan senjata dan rangkaian jenayah rentas sempadan.
Katanya, polis sentiasa menjalin kerjasama baik dengan semua agensi kerajaan, khasnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan yang sentiasa berhubung, berkongsi maklumat dan mengambil tindakan bersama.
Beliau memberi contoh kejayaan operasi rentas sempadan sebagai bukti kesiapsiagaan Malaysia menjaga keselamatan negara.
“Seperti yang semua maklum, kes tangkapan di Sadao membabitkan penyeludupan senjata api berjaya digagalkan, dengan tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa Thailand.
“Kita berkongsi maklumat dengan Thailand untuk mengenal pasti rangkaian mereka dan akan terus bekerjasama dalam perkara sebegini.”