Geran per kapita naik 25% beri implikasi kewangan RM547.6 juta pada 2026

Geran per kapita naik 25% beri implikasi kewangan RM547.6 juta pada 2026

Kali terakhir kadar pemberian geran per kapita kepada kerajaan negeri disemak pada 2002.

public
Kementerian Kewangan berkata kenaikan kadar geran per kapita dilaksanakan secara progresif bagi membantu perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.
KUALA LUMPUR:
Kenaikan pemberian mengikut bilangan orang sebanyak 25% atau RM109.2 juta kepada kerajaan negeri memberi implikasi kewangan berjumlah RM547.6 juta kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan persekutuan pada 2026, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Katanya, kenaikan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas kerajaan negeri kerana ia tidak disemak semula selama 23 tahun, dengan kali terakhir semakan pada 2002.

“Semakan kadar baharu kepada pemberian ini bertujuan membantu kerajaan negeri dengan peningkatan kos mengurus negeri dalam memberikan perkhidmatan kepada setiap penduduk,” kata MoF dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Ia menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris berhubung rasional kenaikan geran per kapita sebanyak 25% kepada RM548 juta pada 2025 dan langkah memastikan pemberian seimbang kepada negeri.

Menurut MoF, pemberian mengikut bilangan orang merupakan pemberian selaras peruntukan Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi membantu perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

Katanya, kenaikan kadar geran per kapita juga dilaksanakan secara progresif, iaitu kenaikan 42% untuk 100,000 penduduk pertama, 37% bagi 500,000 orang berikutnya dan 25% bagi 500,000 seterusnya serta 15% bagi penduduk selebihnya.

“Kenaikan itu merupakan langkah progresif bagi memastikan peratusan kenaikan pemberian lebih tinggi kepada negeri mempunyai penduduk lebih rendah seperti Perlis dan Melaka, berbanding negeri mempunyai penduduk lebih ramai seperti Selangor dan Johor yang mempunyai sumber kewangan lebih kukuh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.