
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata, pengiktirafan itu mengesahkan kepimpinan Malaysia dalam minyak sawit mampan memandangkan MSPO memberikan jaminan mengenai aspek perundangan, pematuhan tarikh penetapan dan kebolehkesanan digital, di samping memastikan lebih setengah juta pekebun kecil dilibatkan sepenuhnya dalam agenda kemampanan.
“Pengiktirafan EU itu juga menekankan kredibiliti MSPO sebagai satu piawaian yang diyakini dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
“Ia memberi jaminan kepada pembeli global bahawa minyak sawit Malaysia diperoleh secara sah, boleh dijejaki dan mampan, berteraskan mata pencarian pekebun kecil serta disokong oleh rangka kerja nasional yang mandatori.”
Pengiktirafan itu dimuktamadkan dalam kenyataan bersama EU-Malaysia bertajuk “’EU dan Malaysia Bersetuju Memperkukuh Perkongsian dan Meneruskan Usaha Bersama Menangani Penebangan Hutan’, yang dikeluarkan susulan lawatan Pesuruhjaya Eropah bagi Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Kitaran Berdaya Saing Jessika Roswall ke Malaysia pada 5 Ogos lepas.
Pensijilan MSPO yang diaudit oleh badan pihak ketiga yang bebas, merupakan piawaian mandatori merangkumi seluruh rantaian nilai minyak sawit, daripada pekebun kecil dan penanam sehingga kilang, peniaga dan pemproses.
Memandangkan keperluan kemampanan global yang semakin ketat, pensijilan ini menawarkan rangka kerja yang kukuh dan boleh diskalakan untuk penyumberan yang bertanggungjawab.
Menurut MSPO, dengan menggabungkan aspek perundangan, tarikh penetapan bebas penebangan hutan yang ketat dan kebolehkesanan lanjutan, MSPO menyokong pematuhan pengendali terhadap EUDR dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam perdagangan global yang mampan.
Ia juga memastikan aspek perundangan, ketelusan, keterangkuman dan akauntabiliti pada setiap peringkat, menyelaraskan pengeluaran dengan keperluan pasaran antarabangsa dan menjamin integriti dan kredibiliti.
“Berteraskan tarikh penetapan ketat pada 31 Dis 2019 yang melarang sebarang penebangan hutan bagi tujuan pensijilan, MSPO memberi keyakinan kepada pembeli dan pengawal selia bahawa minyak sawit yang diperakui diperoleh secara sah dan bebas daripada penebangan hutan.
“Dengan sistem kebolehkesanan digital berstandard tinggi, MSPO membolehkan keterlihatan penuh rantaian bekalan dan mengukuhkan kepercayaan dalam kalangan pemegang kepentingan global,” tambahnya.
MSPO merupakan badan yang disokong kerajaan, ditubuhkan untuk melaksanakan dan menyelia Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.