Dewan Negara lulus RUU wajib pendidikan menengah

Dewan Negara lulus RUU wajib pendidikan menengah

Pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) itu selaras dengan amalan antarabangsa, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

STUDENT_FORM5_TEACHER CLASSROOM
Kadar enrolmen peringkat menengah di negara ini masih perlu ditingkatkan, dengan 96.31% bagi menengah rendah dan 92.6% bagi menengah atas pada masa ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 diluluskan hari ini dengan lebih suara bersetuju, selepas 15 Ahli Dewan Negara membahaskannya di hadapan Speaker Awang Bemee Awang Ali.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan RUU berkata, pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) itu selaras dengan amalan antarabangsa.

“Apabila murid kekal berada dalam sistem persekolahan, kita dapat mengurangkan dan menangani isu keciciran, menangani isu perkahwinan bawah umur dan pelbagai gejala sosial lain yang berpunca daripada ketiadaan akses kepada pendidikan,” katanya, lapor Bernama.

Fadhlina berkata, sejak dasar pendidikan wajib diperkenalkan pada 2003, kadar penyertaan murid sekolah rendah meningkat daripada 92.9% kepada 99.39% tahun lepas, melepasi sasaran Unesco.

Bagaimananapun, katanya, kadar enrolmen peringkat menengah masih memerlukan peningkatan, dengan 96.31% bagi menengah rendah dan 92.6% bagi menengah atas.

“Pelanjutan dasar ini akan memberi ruang lebih luas kepada pelajar untuk menamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima, sekali gus meningkatkan peluang mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, atau memasuki alam pekerjaan dengan lebih berdaya saing,” tambahnya.

Pelanjutan dasar pendidikan wajib ke peringkat menengah menjadi langkah penting dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035, sekali gus menandakan satu reformasi besar bagi memastikan murid tidak tercicir selepas tamat Tahun Enam.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata, RUU Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025, bertujuan memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat dan memastikan keberkesanan penguatkuasaan.

Ketika menggulung perbahasan RUU tersebut, beliau berkata, pindaan bukan sahaja memberi jaminan perlindungan lebih luas kepada pemberi maklumat, malah memastikan sebarang pendedahan mengenai salah laku dapat disiasat secara adil demi kepentingan awam.

Antara pindaan utama termasuk pemotongan proviso Seksyen 6 Akta 711, yang membolehkan individu dilindungi walaupun maklumat yang didedahkan tertakluk kepada undang-undang lain seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Kanun Keseksaan, selagi pendedahan dibuat kepada agensi penguatkuasaan dengan niat baik.

Kulasegaran berkata, pindaan turut memperkenalkan subseksyen baharu yang memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan, untuk mengekalkan perlindungan walaupun pemberi maklumat terlibat dalam kelakuan tidak wajar, sekiranya maklumat yang diberikan mempunyai kepentingan awam.

Terdahulu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Racun (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh penguatkuasaan Akta Racun 1952 (Akta 366), dalam menangani isu penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, pindaan utama melibatkan peluasan kuasa kepada pegawai polis tanpa mengira pangkat untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan, berbanding sebelum ini yang terhad kepada pegawai berpangkat inspektor ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.