‘Karipap Sardin SARA Azizah’ lahir hasil RM100 bantuan kerajaan

‘Karipap Sardin SARA Azizah’ lahir hasil RM100 bantuan kerajaan

Suri rumah Azizah Wahab manfaatkan bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

SARA BANTUAN 100
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengagihan RM100 secara sekali beri kepada setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun bawah program SARA yang memanfaatkan 22 juta orang.
PETALING JAYA:
Daripada sepeket tepung dan tiga tin sardin ditebus menggunakan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), membuka pintu rezeki baharu buat seorang suri rumah yang berniaga karipap sardin sejuk beku.

Azizah Wahab, 60, berasal dari Umbai, Melaka, mengubah modal kecil itu untuk menghasilkan produk ‘Karipap Sardin SARA Azizah, dinamakan sempena salah satu program untuk meringankan beban golongan memerlukan.

Azizah Wahab.

Wanita itu tidak asing dengan dunia perniagaan kecil-kecilan dan pernah menjual makanan sejuk beku semasa penularan Covid-19 untuk menampung keluarga.

Kali ini, peluang datang daripada bantuan kerajaan yang ramai anggap kecil nilai tetap besar maknanya buat golongan B40 sepertinya.

“Modalnya cuma RM20, dapatlah 10 pek karipap. Lepas jual, saya dapat untung RM60. Dari situ saya nampak, kalau kita pandai guna, RM100 ni sebenarnya boleh jadi sumber rezeki.

Tepung dan sardin ditebus Azizah Wahab menggunakan bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk memulakan perniagaan. (Gambar Facebook Azizah Wahab)

“Saya cuma tambah bawang dan cili. manakala bahan lain saya tebus dengan bantuan SARA. Alhamdulillah jadi juga karipap sardin yang sedap,” katanya kepada FMT.

Kisah Azizah mula mendapat perhatian selepas dia memuat naik gambar barangan dibeli beserta hasil jualan karipapnya di media sosial.

Namun, ini bukan kali pertama dia secara kreatif memanfaatkan bantuan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan keluarga dengan berniaga.

“Sebelum ini saya guna wang Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diterima suami untuk perniagaan kecil-kecilan.

Karipap sardin sejuk beku dihasilkan Azizah Wahab. (Gambar Facebook Azizah Wahab)

“Kali ini kerajaan beri semua rakyat RM100. Kalau kita guna untuk berniaga, secara tak langsung kita bantu bangunkan semula ekonomi,” katanya.

Lebih menyentuh hati, Azizah tidak melihat keuntungan semata-mata dan berazam menggunakan hasil jualannya kelak bagi bersedekah.

“Kalau orang kata RM100 tak cukup, bagi saya cukup. Allah beri rezeki ikut cara masing-masing. Kalau kita kembangkan, insya-Allah boleh bantu keluarga, bahkan orang lain juga,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengagihan RM100 secara sekali beri kepada setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bawah program SARA, memberi manfaat kepada 22 juta orang dengan peruntukan RM2 bilion.

Pembelian menggunakan pemberian kredit melalui MyKad itu terpakai untuk barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Kredit RM100 bawah penghargaan SARA boleh digunakan hingga 31 Dis tahun ini di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.