Usul Muhyiddin calon PM wajar dihormati, kehendak ahli Bersatu, kata Tun Faisal

Usul Muhyiddin calon PM wajar dihormati, kehendak ahli Bersatu, kata Tun Faisal

Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata ketetapan itu dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti, selain mengambil kira merit Muhyiddin Yassin.

Tun Faisal Ismail Aziz berkata usul Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri akan dibawa ke Majlis Presiden PN.
PETALING JAYA:
Keputusan Bersatu menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri wajar dihormati kerana ia adalah kehendak ahli parti, kata Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz.

Bercakap kepada FMT, Tun Faisal berkata ketetapan itu dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti, selain mengambil kira merit Muhyiddin yang berpengalaman serta pernah teruji menyelamatkan negara ketika krisis Covid-19.

Menurutnya, krisis ekonomi dan cabaran hidup rakyat ketika ini juga memerlukan kepimpinan berdasarkan merit, bukan sekadar percubaan atau ujikaji.

“Ia dibuat melalui platform Bersatu, bukan Perikatan Nasional (PN). Usul ini mewakili ahli-ahli Bersatu dan wajar dihormati sebagai hak serta kehendak mereka yang diputuskan sebulat suara.

“Usul Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 ini akan dibawa ke Majlis Presiden PN dan perlu diputuskan secara konsensus dalam mesyuarat Majlis Presiden,” katanya.

Beliau mengulas teguran Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, yang menasihatkan Bersatu agar tidak terlalu “ghairah bersendirian” membuat keputusan politik penting atas nama PN, termasuk berkaitan calon perdana menteri.

Menteri besar Kedah itu menegaskan sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.

Isu calon perdana menteri atau “poster boy” PN pada PRU16 sering dibangkitkan, malah menimbulkan percanggahan dalam kalangan pemimpin komponen gabungan itu.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata parti lain dalam PN juga berhak melakukan perkara sama melalui perhimpunan agung masing-masing.

“Ia platform tertinggi dalam parti kerana keputusannya sah dari segi undang-undang berbanding hanya melalui kenyataan media atau platform lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.