PAS pun boleh namakan calon PM, kata pemimpin Bersatu

PAS pun boleh namakan calon PM, kata pemimpin Bersatu

Ahli MPT Bersatu Dr Yadzil Yaakub berkata keputusan akhir akan dibuat secara konsensus pimpinan tertinggi PN.

Muhyiddin Yassin
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu sebulat suara menyokong dan meluluskan usul Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11.
PETALING JAYA:
PAS juga boleh mencadangkan calon perdana menteri yang dimahukan parti itu untuk dibincangkan oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Yadzil Yaakub.

Beliau berkata Bersatu telah mencadangkan Presiden Muhyiddin Yassin selepas meluluskan usul berkenaan pada Perhimpunan Agung Tahunan yang berlangsung hujung minggu lalu.

Yadzil yang juga Adun Bemban menjelaskan bahawa keputusan akhir tetap bergantung kepada Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang dianggotai pemimpin Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.

“PAS pun boleh umum siapa calon perdana menteri mereka di muktamarnya (berlangsung 11 hingga 16 Sept).

“Namun, calon perdana menteri atas nama PN tetap diputuskan secara konsensus oleh semua komponen,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas teguran Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor yang menasihatkan Bersatu tidak terlalu ‘ghairah bersendirian’ membuat keputusan politik penting atas nama PN, termasuk berkaitan calon perdana menteri.

Menteri besar Kedah itu menegaskan sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.

Kenyataan Sanusi itu hadir selepas Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, mengumumkan bahawa Perhimpunan Agung Tahunan parti berkenaan sebulat suara menyokong dan meluluskan usul Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11.

Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ PN pada PRU16 sering dibangkitkan, malah menimbulkan percanggahan dalam kalangan pemimpin komponen gabungan itu.

Sementara itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata semua komponen PN boleh menamakan calon masing-masing seperti yang dijelaskan Muhyiddin.

“Jadi bagi saya, Sanusi berhak menyatakan pandangan beliau selaku pimpinan PAS, dan kita hormati pandangan itu,” katanya.

Ahli Parlimen Machang itu turut menekankan bahawa yang paling penting adalah memastikan kesepaduan jentera PN menuju PRU16 kekal utuh.

“Kita hormat pandangan masing-masing, dan akhirnya keputusan akan dibuat MPT PN. Selepas PRU pula, yang akan melantik adalah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.