KPN tubuh Majlis Sejarawan Negara

KPN tubuh Majlis Sejarawan Negara

Majlis Sejarawan Negara akan mengawal selia aspek kajian, rujukan sumber, penulisan, penerbitan, pendidikan sejarah serta advokasi berkaitan sejarah negara.

MAJLIS SEJARAWAN NEGARA - PICC
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyerahkan watikah pelantikan kepada salah seorang daripada 17 anggota Majlis Sejarawan Negara.
PUTRAJAYA:
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Arkib Negara (ANM) menubuhkan Majlis Sejarawan Negara, badan berautoriti yang berperanan menasihati kerajaan berhubung naratif sejarah Malaysia.

Dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang selaku timbalan pengerusi, majlis itu dianggotai 17 orang terdiri daripada 10 pakar sejarah, dua pakar arkeologi, dua pakar antropologi dan sosiologi serta seorang wakil KPN, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Keanggotaan mereka selama dua tahun bermula 1 Ogos lalu hingga 31 Julai 2027.

Majlis itu dianggotai pensyarah (Bersara) Universiti Malaya (UM) Prof Ahmat Adam dan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin di Universiti Sultan Zainal Abidin Prof Abdullah Zakaria Ghazali.

Turut dilantik Pengerusi Felo Kenegaraan Dewan Kenegaraan, Pejabat Perdana Menteri Prof Mohammad Redzuan Othman dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM Prof Danny Wong Tze Ken.

Pensyarah (Bersara) UM Prof SR Sivachandralingam, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Prof Asyaari Muhamad, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia Prof Stephen Chia Ming Soon, Pengarah Institut Pengajian Asia Borneo Universiti Malaysia Sarawak Prof Poline Bala, Ketua Setiausaha KPN Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha KPT Anesee Ibrahim dan Ketua Setiausaha KPM Aminuddin Hassim.

Pada majlis hari ini, Anwar menyerahkan watikah pelantikan kepada 17 anggota majlis itu.

Aaron dalam ucapannya berkata, penubuhan majlis itu sebagai sebuah entiti mengawal selia aspek kajian, rujukan sumber, penulisan, penerbitan, pendidikan sejarah serta advokasi berkaitan sejarah negara amat penting bagi memastikan kestabilan, keamanan, keharmonian dan perpaduan negara terus terpelihara.

“Pada masa sama, Majlis Sejarawan Negara turut berperanan menjamin penemuan serta sumbangan pelbagai pihak dalam sejarah dan pembangunan negara direkodkan.

“Langkah kerajaan menubuhkan majlis ini adalah inisiatif strategik negara untuk membangunkan identiti nasional yang kukuh dan berpaksikan sejarah, memastikan ketepatan fakta sejarah dalam wacana awam dan pendidikan serta menyediakan wadah profesional kepada sejarawan.”

Penubuhan Majlis Sejarawan Negara dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi pada perasmian Konvensyen Sejarah Negara dan Perpaduan Nasional tahun lepas.

Aaron berkata, KPN mengangkat penubuhan majlis itu kepada Jemaah Menteri dan diluluskan 24 Jan lalu.

Sementara itu, KPN dalam kenyataan memaklumkan Majlis Sejarawan Negara turut berperanan menjana pemikiran dan idea baharu untuk memantapkan pendidikan sejarah yang inklusif selaras identiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum serta mengesyorkan pemerkasaan penggunaan sumber sejarah berautoriti dan berintegriti dalam penulisan sejarah negara.

“KPN terus menyokong usaha ke arah pembinaan naratif sejarah yang mencerminkan kepelbagaian dan penyatuan, agar generasi akan datang dapat mempelajari sejarah negara berasaskan fakta yang sahih serta dapat dibuktikan dengan jelas,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.