2 ditahan muat naik hantaran berunsur ugutan terhadap PM, kerajaan

2 ditahan muat naik hantaran berunsur ugutan terhadap PM, kerajaan

Dua lelaki ditahan masing-masing disyaki buat hantaran sedemikian di TikTok dan Facebook.

m kumar
Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar berkata, pihaknya akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja buat atau sebar kandungan yang boleh timbulkan kegentaran awam.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan dua lelaki berumur 44 dan 45 tahun kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur ugutan jenayah, hasutan serta dakwaan tidak benar terhadap kerajaan dan perdana menteri melalui media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki berumur 45 tahun yang disyaki membuat satu hantaran menerusi akaun TikTok bernama Mohd Soie (@mohd.soie3) yang mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan.

“Tangkapan seterusnya melibatkan seorang lagi lelaki berumur 44 tahun, yang disyaki membuat satu komen berunsur ugutan jenayah terhadap perdana menteri menggunakan akaun Facebook Mdjohan Ngadin,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan berunsur hasutan, ugutan jenayah, berita palsu atau apa-apa kandungan yang boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.