
Menurut kenyataan pihak pengurusan, pengunjung terbabit dihalang membawa masuk ‘sebatang kayu panjang’ ke premis itu selaras dengan prosedur keselamatan sedia ada.
“Kami ingin menegaskan bahawa ini langkah keselamatan piawai yang dikenakan kepada semua pengunjung, dan kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa tindakan kami tidak didasari oleh sebarang pendirian politik,” katanya.
“Keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan kami. Justeru, kami amat menghargai kerjasama serta pemahaman orang ramai dalam usaha kami untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur untuk semua.”
Walaupun pihak pengurusan Suria KLCC tidak menamakan pengunjung terbabit, rakaman tular oleh Malaysian Daily Protest for Palestine semalam mendedahkan individu terbabit ialah bekas Ahli Parlimen Tian Chua yang dilihat bergelut dengan anggota keselamatan.
Dalam video itu, kedengaran suara memaklumkan Tian Chua perlu dikeluarkan kerana membawa sebatang ‘kayu’, dipercayai merujuk kepada tiang bendera.
Seorang wanita yang merakam insiden itu juga kedengaran menjerit menuduh pengawal bertindak kasar hanya kerana beliau memegang bendera Palestin.
Kumpulan itu mendakwa Suria KLCC mengasari aktivis pro-Palestin sejurus selepas mereka menghadiri perhimpunan ‘Trump Don’t Come’ yang membantah rancangan lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia.
Mereka turut mengancam boikot dan mendakwa aktivis lain membawa plakad turut dihalang masuk atau dihalau, sambil menegaskan insiden itu boleh sahaja diselesaikan melalui perbincangan.