Doktor rungut bayaran Ahli Parlimen lebih tinggi

Doktor rungut bayaran Ahli Parlimen lebih tinggi

Dua kumpulan doktor berkata Ahli Parlimen dibayar RM400 untuk beberapa jam dan doktor hanya mendapat RM200 untuk syif 24 jam.

doctor and dewan rakyat
Kenyataan Kementerian Kesihatan berhubung elaun doktor mendorong perbandingan bayaran diterima Ahli Parlimen dan pegawai perubatan kerajaan.
PETALING JAYA:
Kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung elaun tugas atas panggilan (on-call) doktor mencetuskan perbandingan beban kerja serta bayaran diterima pegawai perubatan kerajaan dan Ahli Parlimen.

Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) Persatuan Perubatan Malaysia mengkritik KKM memasukkan senarai 21 elaun layak diterima semua penjawat awam dalam kenyataannya berhubung elaun doktor.

Hartal Doktor Kontrak pula membandingkan elaun dalam kenyataan KKM dengan senarai bayaran bulanan diterima Ahli Parlimen, dikatakan beberapa kali ganda lebih tinggi daripada bayaran diterima doktor, yang masa kerja mereka lebih panjang daripada wakil rakyat.

Dua kumpulan itu merujuk kenyataan KKM berhubung semakan elaun tugas atas panggilan doktor yang akan dilaksanakan mulai tahun depan, bersama bayaran berkaitan lain untuk petugas kesihatan.

Minggu lalu, Dr RA Lingeshwaran di Dewan Negara membidas KKM tidak melaksanakan kadar baharu yang dijanjikan dalam belanjawan terdahulu, yang hanya menelan belanja RM80 juta setahun.

Schomos menyifatkan tindakan KKM memasukkan senarai semua elaun penjawat awam dalam pekeliling mengelirukan kerana doktor junior hanya layak menerima sebahagian kecil daripadanya.

Ada yang terpakai kepada sebilangan kecil doktor dan ada pula dinikmati kakitangan perkhidmatan lain.

Schomos turut mendedahkan slip gaji seorang doktor junior yang menunjukkan hanya lima elaun lain diterima, selain gaji pokok, iaitu elaun kos sara hidup, perumahan, perkhidmatan awam, perkhidmatan kritikal dan on-call.

“Kami berharap kenaikan elaun tugas atas panggilan akan dilaksanakan secepat mungkin kerana kali terakhir semakan pada 2012. Penghijrahan bakat (dalam sektor kesihatan) semakin teruk dan jika ini berterusan, rakyat akan menderita.”

Hartal Doktor Kontrak pula memuat naik senarai elaun bulanan tetap dinikmati Ahli Parlimen, termasuk gaji sebanyak RM16,000, RM2,500 untuk keraian, RM1,500 bagi pengangkutan, RM1,500 untuk pemandu, RM1,500 bagi pakaian istiadat, RM900 untuk bil telefon dan RM300 bagi bayaran tol.

Selain pendapatan tetap bulanan RM27,200, Ahli Parlimen turut dibayar RM400 sehari untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat, RM2,000 setiap dua tahun bagi membeli telefon bimbit, bayaran sekali RM6,000 untuk membeli komputer dan RM1,000 setiap tiga tahun untuk pakaian rasmi. Mereka juga dikecualikan membayar cukai jalan.

Ahli Parlimen yang berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan turut layak menerima pencen selepas usia 50 tahun.

Seorang bekas Ahli Parlimen mengesahkan penggubal undang-undang berhak mendapat elaun itu.

Beberapa doktor merungut Ahli Parlimen dibayar RM400 bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat selama beberapa jam berbanding doktor yang dibayar RM200 untuk bertugas 24 jam.

“Mereka dibayar RM400 untuk hadir dan berebut menamakan semula bunga serta bertengkar satu sama lain selama beberapa jam, tetapi doktor hanya mendapat RM200 selepas bertugas selama 24 jam untuk menyelamatkan nyawa,” tulis seorang doktor secara sinis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.