
Ketua PGRS Moyog, Ceasar Mandela Malakun, berkata Bung tidak payah terus berbicara mengenai kegagalan langkah politik itu seolah-olah ia sesuatu patut dibanggakan.
Katanya, jika benar Hajiji tidak menepati piawaiannya sebagai ketua kerajaan negeri, bukankah lebih mudah kemuka usul undi tidak percaya sejak dari awal di DUN, memandangkan speaker dilantik daripada kalangan ‘orang Umno’.
“Langkah yang bermaruah ialah dengan mengemukakan usul undi tidak percaya pada peringkat awal di DUN. Memandangkan speaker juga daripada Umno, tidaklah sukar untuk menguji Hajiji di hadapan semua wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Bung dalam kenyataan menyatakan kesanggupan berdebat mengenai ‘Langkah Kinabalu’ yang dianggap bukan pengkhianatan, malah reaksi terhadap apa didakwa kegagalan pimpinan Hajiji.
Adun Lamag itu juga mendakwa Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ‘memperdayakannya’ pada hari barisan Kabinet negeri mengangkat sumpah, dengan menukarnya kepada jawatan lain tanpa pengetahuan beliau.
Ceasar ketika mengulas lanjut, berkata secara konvensyen pelantikan ke Kabinet merupakan hak prerogatif ketua kerajaan.
“Tetapi, Bung buat keputusan Kementerian Kerja Raya lebih bergaya berbanding Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“Timbalan Presiden PGRS Masidi Manjun terpaksa bertukar portfolio dengan Bung dan beliau tidak pernah kecoh mengenainya sehingga hari ini,” kata Mandela.
Umno Sabah ‘langgar’ perjanjian
Bercakap mengenai jumlah kerusi Umno Sabah ditandingi pada PRN Sabah lalu, parti itu bertindak meletakkan calon di 41 kerusi, berbanding persetujuan awal dengan GRS dan PBS, bertanding di 27 kerusi.
“Kita biarkan sahaja kerana kerosakan telah pun berlaku. Mujurlah, kita berjaya menewaskan Warisan.
“Tetapi, tidak perlu menunggu lama apabila Bung, yang telah mengangkat sumpah sebagai timbalan ketua menteri I merangkap menteri kerajaan tempatan dan perumahan berang sebaik sahaja meninggalkan Istana, mendakwa beliau sepatutnya dilantik menteri kerja raya seperti ‘dijanjikan’.”
Mandela berkata, jika benar Hajiji menipu Umno Sabah seperti didakwa Bung, parti itu tidak akan mempunyai tiga menteri penuh dalam Kabinet, ramai pembantu menteri selain sejumlah besar pemimpin dan ahlinya memegang jawatan pengerusi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) penting seperti Qhazanah Sabah Bhd.
“Kegagalan ‘Langkah Kinabalu’ Bung sebenarnya rahmat tersembunyi kerana selepas beliau berundur, GRS dan PH dapat bawa kestabilan politik yang sangat diperlukan di Sabah, sekali gus menarik berbilion ringgit pelaburan asing dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan,” katanya.