
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, kertas cadangan itu hanya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas Azalina mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan di seluruh negara.
Selain itu, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, Jemaah Menteri mencadangkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara dilibatkan dalam proses tersebut, termasuk sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara, sekolah elit seperti Maktab Tentera Diraja serta universiti awam dan swasta.
“Penggubalan ini (RUU itu) penting bagi menyekat perbuatan buli daripada terus berlaku dan menghantui pemikiran ibu bapa serta anak-anak atau pelajar yang menjadi mangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Motivasi Desa (Mode)@Kemas KKDW dan program Bakti Madani@KPT.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki.
Selain itu, Zahid berkata badan beruniform kemungkinan akan dilibatkan dalam penggubalan RUU berkenaan bagi mengelakkan sebarang isu.
“Pewujudan tribunal ini yang pada hemat saya harus meliputi semua pihak. Kita tidak mahu sebarang pertuduhan itu mencemarkan nama mana-mana institusi di negara kita,” katanya.