
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata Khairy mungkin percaya melalui platform Umno sahaja beliau boleh ‘mendaki’ lebih tinggi dan tiada parti benar-benar sesuai dengan jiwanya.
“Saya berpandangan KJ masih tidak boleh ‘move on’ dan hanya percaya melalui platform Umno sahaja beliau boleh mendaki dan mempunyai masa depan politik lebih cerah.
“Beliau mungkin menilai pelbagai parti sepanjang tempoh tidak berparti, tetapi ia tidak kena dengan jiwa politik beliau berbanding Umno,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan Khairy dikhabarkan menghantar surat rayuan berhubung pemecatannya pada Januari 2023 melalui pegawainya, baru-baru ini.
Tawfik berkata bekas menteri itu tidak wajar ‘menyembunyikan’ situasi itu jika benar, sekali gus memperakui Umno masih relevan untuk masa depan politik beliau.
“Beliau boleh buat apa saja aktiviti lain untuk ‘survive’ dalam kehidupan peribadi tetapi untuk survival politik, dia masih perlukan Umno,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata walaupun Khairy masih popular menerusi platform audio siar Keluar Sekejap (KS) dan penyampai radio, namun dari segi karier politik – nasibnya masih terumbang-ambing.
“Ya, KJ masih popular… tapi itu tidak beri makna dalam karier politiknya. Jadi, dalam waktu begini, Umno adalah platform terbaik untuk panjangkan semula karier politik beliau.
“Sebab itu ada ura-ura beliau nak kembali – itu sebenarnya ‘test market’ untuk tengok reaksi kepimpinan dan akar umbi Umno,” katanya.
Azmi turut bersetuju Khairy memerlukan Umno lebih daripada Umno memerlukannya, namun kedua-duanya tetap saling memerlukan.
“Umno perlu orang seperti KJ yang nampak lebih intelek dan vokal, berbeza dengan tokoh seperti Akmal (Saleh) yang kadang-kala dilihat semberono dalam isu-isu tertentu.
“KJ pula perlukan parti seperti Umno untuk panjangkan karier politiknya dan saya fikir kepimpinan sekarang cukup stabil untuk menerima suara vokal seperti KJ,” katanya.
Khairy dipecat Umno pada Januari 2023 susulan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15. Bekas naib presiden Hishammuddin Hussein pula digantung enam tahun.
Sejak dipecat, bekas menteri kesihatan itu aktif dalam dunia korporat dan media selain menjadi pemerhati serta lantang mengkritik dalam isu politik dan pentadbiran negara.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada Khairy atau Umno berhubung perkembangan rayuan berkenaan.