
Beliau berkata, peristiwa yang membabitkan perjuangan membela nasib penduduk miskin di daerah ini bersama kumpulan mahasiswa masih segar dan tidak pernah luput dalam ingatannya.
“Pada 1974, beberapa tahun selepas Tun Abdul Razak Hussein meluncurkan Dasar Ekonomi Baru yang mahu menjamin kemaslahatan rakyat melalui serampang dua mata, termasuk pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum.
“Selang tiga tahun, muncul masalah kemiskinan ketara kerana kejatuhan mendadak harga getah. Pekebun-pekebun kecil hidup dalam keadaan yang sangat sengsara.
“Mereka bangun, berarak di Baling hingga ke Alor Setar … sampai berita itu ke Kuala Lumpur, kami pun bangkit beri sokongan… maka saya diberi cuti rehat di Kamunting dua tahun,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Program Madani Rakyat Kedah hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, ukuran kejayaan negara bukan sekadar boleh memacu pertumbuhan hebat atau pelaburan yang meningkat dengan angka-angka yang meyakinkan, sebaliknya berkaitan bagaimana hasil diagihkan kepada rakyat yang paling terpinggir.
Katanya, ujian terbesar seseorang pemimpin adalah ketika diberikan kuasa dan tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin bagi memastikan rakyat mendapat pelbagai manfaat daripada setiap dasar yang dibuat.
“Saya masuk penjara dua tahun soal Baling sebab apa?.. Bela nasib orang miskin … jadi, jangan lepaskan peluang untuk amalkan … masa ada kuasa, cuba laksanakan dengan amanah, dengan sebaik mungkin,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.