
RUU itu memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna serta melindungi rakyat daripada amalan kredit tidak adil, tidak telus dan menindas bakal diwartakan penghujung tahun ini.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata pada masa ini BNPL tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak selain perkhidmatan kredit pengguna lain seperti pemfaktoran, pajakan, perkhidmatan kutipan hutang dan pengurusan hutang.
“Dengan kelulusan RUUKP, semua perkhidmatan ini akan dikawal selia oleh SKP di bawah fasa 1 apabila akta ini dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan.
RUU itu juga akan mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.
MoF berkata SKP sebagai sebuah badan bebas akan mengawasi dan mengawal selia penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal.
“Selain itu, SKP mempunyai empat fungsi utama iaitu menasihati menteri kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna an menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan berkaitan kredit pengguna.
“Menggalakkan perlakuan adil, profesional dan bertanggungjawab oleh semua pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dan; menggalakkan perkembangan industri kredit pengguna yang
cekap dan telus,” katanya.
Isu BNPL sering dibangkitkan pertubuhan dan pengguna yang menyifatkannya sebagai jerat walaupun kemudahan itu turut bertujuan membantu seseorang membeli barangan keperluan terutama pada waktu mendesak.