
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jafni Shukor berkata ‘tawaran’ seumpama itu tidak benar dan merupakan satu penipuan atau ‘scam’.
Ini kerana kerajaan negeri menetapkan harga lantai sebanyak RM1 juta bagi pembelian rumah oleh warga asing.
“Polisi ini kekal sebagai langkah melindungi kepentingan rakyat tempatan dan memastikan rumah mampu milik sentiasa menjadi keutamaan untuk rakyat Johor,” katanya.
Beliau berkata 19 kes penipuan membabitkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dengan kerugian kira-kira RM155,000 yang dilaporkan sebelum ini seharusnya menjadi peringatan, agar rakyat lebih berwaspada terhadap tawaran meragukan dan merujuk saluran rasmi kerajaan negeri.
Jafni menjelaskan rumah percuma di Johor hanya diberikan kepada golongan miskin tegar di bawah inisiatif Rumah Kasih Johor (RKJ), dengan RM67.5 juta diperuntukkan hingga 2026 bagi sasaran pembinaan 500 unit rumah.
Inisiatif itu untuk memastikan keluarga miskin tegar mendapat tempat tinggal yang selesa dan terjamin.
“Hingga Jun lepas, 17,745 unit RMMJ dengan julat harga antara RM42,000 dan RM300,000 telah diserahkan kepada rakyat sekali gus menunjukkan kerajaan negeri konsisten dan keutamaan perumahan adalah untuk rakyatnya selaras aspirasi Maju Johor 2030,” katanya.
Ketua Polis Joho Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan penipuan subsidi perumahan Johor-Singapura susulan amaran yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung kes itu.
Semalam, media Singapura melaporkan SPF memberi amaran mengenai satu penipuan melibatkan subsidi perumahan Johor-Singapura yang tular di Facebook.
Mangsa penipuan didakwa menemukan iklan berserta pautan yang mempromosikan ‘JBSG Housing Subsidy Program’ atau ‘Free Homes Across the Causeway’ di platform berkenaan.
Laporan itu dipetik berkata iklan tersebut menggambarkan wujud kerjasama antara kerajaan Johor dan Singapura dalam penyediaan perumahan bersubsidi.