Bersatu perlu sedia tawaran segar, kata pemimpin

Bersatu perlu sedia tawaran segar, kata pemimpin

Ahli MPT Saifuddin Abdullah berkata Bersatu perlu lakukan reset politik bagi menyediakan tawaran segar kepada rakyat.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah berkata Bersatu tidak boleh bergantung pada kegemilangan lalu dan gelombang kemarahan rakyat.
PETALING JAYA:
Bersatu perlu tampil dengan tawaran segar kepada rakyat, bermula dengan ‘reset’ politik bagi menzahirkan Konsensus Nasional Baharu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, walaupun masih muda rakyat telah mengakui pencapaian Bersatu termasuk melahirkan dua perdana menteri – Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin – selain pengurusan Covid-19 diiktiraf dunia.

Katanya, wakil rakyat Bersatu turut menunjukkan prestasi baik dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menuntut keadilan kes kematian Zara Qairina Mahathir, serta mendesak penangguhan pengundian Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan sehari dan penangguhan perbahasan RUU Pembaharuan Semula Bandar ke mesyuarat berikutnya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menegaskan, Bersatu tidak boleh hidup dengan nostalgia kejayaan lampau atau bergantung pada gelombang kemarahan rakyat, sebaliknya mesti menjadi parti yang disokong kerana disenangi orang ramai.

“Justeru, PAT (Perhimpunan Agung Tahunan) kali ini mesti menyusun langkah. Bukan sekadar reaksi terhadap keadaan semasa, tetapi lebih penting lagi aksi mencorakkan masa depan.

“Bukan sekadar langkah biasa atau mengulangi perkara lama. Ia mesti menjadi langkah baharu, konkrit dan praktikal – yang memberi harapan munasabah serta menggamit imaginasi rakyat, iaitu tawaran segar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kolum Merentas Ruang di Sinar Harian sempena PAT Bersatu akan berlangsung esok dan Ahad.

Saifuddin menegaskan, tawaran itu perlu bermula dengan ‘reset’ politik, mencontohi langkah menangani peristiwa 13 Mei untuk menzahirkan Konsensus Nasional Baharu dalam memulihkan keyakinan antara kaum, agama, persekutuan, negeri, wilayah dan pihak berkepentingan.

Katanya, pendekatan itu mesti dilaksanakan dengan cermat dan berhemat bersama pihak berkaitan, termasuk Raja-raja Melayu, parti komponen Perikatan Nasional (PN), parti sahabat, NGO, profesional dan golongan akademik.

“Konsensus ini adalah keazaman politik yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Antaranya pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, kesepaduan sosial sebagai asas perpaduan, kecemerlangan pendidikan berteraskan nilai, peluang pekerjaan baharu, serta jaminan kesihatan dan kebajikan terbaik untuk semua.

“Semua ini memerlukan dana ekonomi yang benar-benar makmur, kerana rakyat kini sedang terhimpit,” katanya mengakui proses itu tidak mudah kerana membabitkan pembetulan struktur dan penciptaan kekayaan baharu.

Bekas menteri luar negeri itu turut menekankan perlunya pembetulan terhadap ketidaksamaan akibat jurang pendidikan dan pendapatan, struktur kos serta harga barangan dan perkhidmatan, sistem cukai, dasar fiskal, selain kelemahan institusi dan agensi tertentu.

“Selain membesarkan saiz ekonomi, kekayaan baharu mesti dioptimumkan. Jika dahulu petroleum menjadi sumber baharu dan Petronas ditubuhkan sehingga berjaya, maka kini unsur nadir bumi (REE) ialah kekayaan baharu. Justeru, wajar ditubuhkan REE National Corporation Berhad (REE-NAS) yang berpotensi menjadi pemangkin utama.

“Gagasan politik dan ekonomi inilah dua tonggak utama tawaran segar untuk rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.