Tak bayar gaji, FAM pecat Persatuan Bolasepak Perlis

Tak bayar gaji, FAM pecat Persatuan Bolasepak Perlis

PFA gagal lunas RM998,658 kepada bekas pengarah bola sepaknya, Matt Holland.

FAM PFA
Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi berkata PFA dipecat kerana gagal bayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak Matt Holland seperti keputusan dikeluarkan Fifa 4 Dis 2019.
PETALING JAYA:
Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dipecat serta merta daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi, berkata badan itu memecat PFA kerana gagal membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak dituntut bekas pengarah bola sepak PFA, Matt Holland, seperti keputusan dikeluarkan Fifa pada 4 Dis 2019.

Beliau menjelaskan, PFA boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli gabungan FAM semula dengan syarat mereka perlu menyelesaikan segala tuntutan atau arahan dikeluarkan Fifa.

“Keputusan memecat PFA dibuat setelah kita bagi tempoh akhir mereka selama enam bulan untuk menyelesaikan masalah sebelum ini dan tempoh enam bulan itu pun sudah berakhir. Jadi hari ini, jawatankuasa membuat keputusan untuk memecat PFA daripada menjadi ahli gabungan FAM.

“Kesannya, mereka bukan lagi ahli gabungan dengan FAM, maka mereka tak boleh membabitkan diri dan juga mewakili dalam segala kegiatan bola sepak di Malaysia atau di Fifa juga,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di Wisma FAM, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, FAM berkata Holland membuat aduan selepas PFA gagal menjelaskan bayaran itu dan Fifa seterusnya menerusi surat bertarikh 11 Nov lalu membuat keputusan terbaharu dengan PFA diarahkan membayar RM998,658 kepada Holland dan denda CHF15,000 (kira-kira RM75,000).

Selain itu, Yusoff menegaskan keputusan itu tidak akan menjejaskan pasukan dari Perlis yang sebelum ini beraksi dalam saingan liga tempatan.

“Dari segi pertandingan, untuk liga, pasukan yang mewakili Perlis tidak akan beri kesan sebab sebelum ini pun dia bukan dapat kelulusan daripada PFA. Sebab PFA ini daripada 2019 sudah digantung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.