Sultan Perak bimbang kebencian di media sosial

Sultan Perak bimbang kebencian di media sosial

Sultan Nazrin Shah titah saban hari ummah disajikan kata-kata jelik, menghina, mempersenda, dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah hati tidak dijaga menjadikan mulut yang berkata-kata dan tangan menyentuh papan kekunci gajet bebas melakukan apa sahaja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular di media sosial mencetuskan polemik dalam kalangan ummah.

Baginda bertitah, saban hari ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersenda, dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulannya, menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan adat Melayu.

Titahnya, perbezaan dan perbalahan bagi memenangkan hujah masing-masing yang berlaku antara kabilah politik, mazhab, dan bangsa telah mencetuskan polemik.

“Hati yang tidak dijaga dengan ketakwaan, menjadikan anggota mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet bebas melakukan apa sahaja,” titah baginda menurut Bernama ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Perak, di Ipoh.

Sultan Nazrin bertitah ummah masa kini juga menghadapi cabaran dalam mendepani penyatuan dengan semangat ukhuwah yang muhibah.

“Ummah seolah-olah melupakan wasiat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam (SAW) agar meninggalkan perbuatan yang tercela seperti mengejek, memberi gelaran jelik, bersangka buruk, mengumpat, memfitnah, dan menjatuhkan hukum tanpa diselidiki,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, tindak-tanduk yang melampaui batasan ini boleh membawa kepada perpecahan apabila golongan yang miskin adab dan kedana adat mengetepikan nas agama dan kehalusan budaya warisan bangsa.

“Akibatnya berlakulah kerosakan, nilai-nilai murni agama diberikan tafsiran songsang, adat dipinggirkan, menyebabkan fahaman dan pegangan ummah, terutama dalam kalangan generasi muda terpesong dan songsang,” titah baginda.

Justeru, baginda bertitah usaha perlu dipergiatkan untuk mengembalikan manhaj pembinaan negara bangsa berpandukan kebijaksanaan dan semangat yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW.

“Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, dan menguasai pelbagai bahasa.

“Sikap bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling memahami dan saling menghormati di samping mengenali batas sempadan, tidak mengusik perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.