Saya tak dapat manfaat pelaburan RM150 juta Felcra, Bung beritahu mahkamah

Saya tak dapat manfaat pelaburan RM150 juta Felcra, Bung beritahu mahkamah

Bung Moktar Radin berkata dakwaan beliau guna kedudukan sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra demi kepentingan peribadi dianggap 'sangkaan jahat'.

bung zizie
Bung Moktar Radin dan Zizie Izette Abdul Samad didakwa terima rasuah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
KUALA LUMPUR:
Bung Moktar Radin menolak tuduhan pendakwaan yang beliau sengaja memperoleh manfaat daripada pelaburan amanah saham Felcra Bhd berjumlah RM150 juta, sambil menyifatkannya sebagai ‘sangkaan terlampau jahat’.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu menegaskan, beliau tidak menyalahgunakan pengaruh dan kedudukannya sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra untuk memastikan pelaburan berkenaan diluluskan bagi membolehkan diri atau isterinya menerima wang pengenalan RM2.8 juta.

Bung memberi keterangan ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Fadly Zamry dalam perbicaraan rasuah bersama yang turut melibatkan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad.

Fadly: Adakah anda setuju jika saya katakan semua tindakan anda di luar skop dan tanpa kelulusan bertulis daripada Ahli Lembaga Pengarah?

Bung: Saya tidak setuju.

Fadly: Semua tindakan anda diambil untuk menjaga kepentingan anda dan isteri?

Bung: Saya tidak setuju.

Fadly: Semua tindakan anda jelas menunjukkan anda tahu dan sedar habuan akan diperoleh sekiranya perkara ini (pelaburan) berjaya.

Bung: Tidak setuju. Itu sangkaan terlampau jahat.

Fadly: Adakah anda setuju jika saya katakan anda menggunakan pengaruh dan kedudukan sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra Bhd untuk memastikan perkara ini diluluskan supaya RM2.8 juta itu diterima oleh anda dan isteri?

Bung: Saya tidak setuju.

Ketua Umno Sabah berkenaan juga menafikan dakwaan cadangan pelaburan amanah saham tersebut telah melangkaui proses sewajarnya dengan mengetepikan pengurusan tertinggi Felcra sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah.

“Bahagian kewangan Felcra merupakan sebahagian pengurusan tertinggi.

“Lembaga pengarah mempunyai kuasa memutuskan sebarang cadangan yang disalurkan melalui pihak pengurusan. Sebab itu pelaburan tersebut diluluskan selepas terlebih dahulu dibincangkan di peringkat kewangan,” katanya.

Pihak pendakwaan kemudian merujuk minit mesyuarat pada 11 Nov 2014 yang tidak merekodkan persetujuan lembaga pengarah untuk melantik Public Mutual Berhad sebagai pengurus dana.

Ketika didesak Fadly mengenai sebab surat Felcra kepada Menteri Kewangan Diperbadankan menamakan Public Mutual, Bung merujuk kepada keterangan bekas menteri kewangan kedua ketika itu, Husni Hanadzlah.

“Menteri sendiri pernah berkata dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini bahawa beliau telah meluluskan beberapa agensi kerajaan untuk melabur dengan Public Mutual. Jadi, jika Felcra mempunyai lebihan dana, kami diminta menulis kepada kementerian untuk pertimbangan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad akan bersambung pada 24 Sept.

Bung berdepan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah tersebut daripada Madhi Hamid melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bung turut berdepan satu lagi pertuduhan menerima RM337,500 daripada Norhaili Mokhtar atas nama Zizie di bank yang sama, pada 19 Jun 2015.

Zizie pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam pelaksanaan kesalahan didakwa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.