Rumah tak terjual naik 16.3% pada separuh pertama 2025

Rumah tak terjual naik 16.3% pada separuh pertama 2025

Laporan pasaran hartanah terbaharu menunjukkan hampir 27,000 unit kediaman siap dibina bernilai RM16.4 bilion belum terjual.

projek
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan melihat model pemilikan rumah baharu, seperti skim sewa untuk dimiliki bagi menjadikan pembangunan rumah mampu milik. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jumlah rumah tidak terjual di Malaysia meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2025 (H1 2025), dengan 26,911 unit kediaman siap bernilai RM16.44 bilion masih berada di pasaran, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Berdasarkan laporan pasaran separuh pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Amir berkata angka itu mewakili peningkatan 16.3% dari segi jumlah unit tidak terjual dan kenaikan 17.9% dari segi nilai berbanding separuh kedua 2024.

Bagaimanapun, beliau berkata pasaran keseluruhan kekal stabil dan kerajaan sedang mencari jalan untuk menyokong segmen perumahan kediaman.

“Reformasi perumahan adalah antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, yang membolehkan pembangunan rumah mampu milik.

“Kami juga sedang melihat model pemilikan rumah baharu, seperti skim sewa untuk dimiliki.

“Satu lagi cara untuk mengurangkan projek terbengkalai ialah menggalakkan pasaran ke arah kaedah bina dahulu kemudian jual,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan itu di Hotel Le Meridien di sini.

Amir berkata laporan itu turut mencatatkan peningkatan dalam segmen pangsapuri servis, dengan jumlah unit tidak terjual menurun 8.6% kepada 17,883 unit bernilai RM14.43 bilion.

Kadar penghunian kompleks membeli-belah (78.7%) dan bangunan pejabat (71.7%) kekal stabil berbanding tempoh sebelumnya.

Secara keseluruhan, Amir berkata pasaran hartanah pada H1 2025 menunjukkan daya tahan, dengan aktiviti pembinaan terus berkembang walaupun berlaku sedikit penyusutan dalam prestasi urus niaga.

Beliau berkata walaupun jumlah keseluruhan urus niaga hartanah mencatat penurunan kecil sebanyak 1.3% kepada 196,232 kes, nilai urus niaga meningkat 1.9% kepada RM107.68 bilion.

Laporan itu turut mendapati Indeks Harga Rumah Malaysia merekodkan pertumbuhan tahunan 0.7% kepada 227.3 mata, dengan harga purata rumah pada RM490,376 seunit.

Pelancaran kediaman baharu pula menurun kepada 23,380 unit dengan prestasi jualan sebanyak 24%, mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pemaju.

Pada acara sama, Amir turut merasmikan Sistem Maklumat Hartanah Malaysia 2.0 yang dibangunkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) sebagai naik taraf kepada sistem terdahulu yang digunakan sejak 2010.

Beliau berkata sistem baharu itu mengintegrasikan ekosistem data sedia ada dan menggunakan kecerdasan buatan serta analitik data raya, bagi membolehkan sektor awam dan swasta mengakses maklumat yang lebih terperinci dan tepat mengenai pasaran hartanah negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.