Jawatankuasa bencana mohon bina stesen seismik di Segamat

Jawatankuasa bencana mohon bina stesen seismik di Segamat

Setakat ini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara, termasuk enam di Johor.

Pengerusi JPBD Segamat Ezzuddin Sanusi beri penerangan kepada komuniti pada program pengurusan risiko bencana gempa bumi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa bencana memohon kerajaan bina dua stesen seismik dilengkapi alat seismometer di Segamat, Johor bagi memantau gempa bumi berikutan gegaran lemah yang melanda daerah itu bulan lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat memaklumkan permohonan dihantar kepada kerajaan negeri dan persekutuan, lapor Bernama.

Menurutnya, stesen itu dicadang dibangunkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), manakala lokasi pembinaan masih diteliti dan dibincangkan bersama agensi berkenaan, termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Stesen seismik yang dicadangkan akan dilengkapi alat seismometer jenis pergerakan kecil dan lokasi sesuai akan dipilih jauh daripada gangguan aktiviti manusia seperti jalan raya,” kata Pengerusi JPBD Segamat, Ezzuddin Sanusi, pada taklimat program pengurusan risiko bencana gempa bumi bersama pemimpin komuniti di Segamat.

Setakat ini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara, termasuk enam di Johor iaitu dua di Johor Bahru, dan satu di Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.

Dalam pada itu, Ezzuddin memaklumkan 62 laporan kerosakan kecil pada rumah penduduk diterima setakat ini.

“Secara keseluruhan, kita menerima 64 makluman mengenai kerosakan kecil termasuk dua di surau, namun tiada laporan kerosakan serius melibatkan premis berkenaan.

“Semua kerosakan adalah kecil seperti retakan pada dinding dan siling yang tidak menjejaskan struktur bangunan,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi; Ketua Pengarah JMG Zamri Ramli; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Abdul Halim Hamzah; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Ismail Abu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.