Azalina buat ‘roadshow’ dapatkan pandangan RUU antibuli

Azalina buat ‘roadshow’ dapatkan pandangan RUU antibuli

Jelajah akan bermula di Kuala Lumpur.

bully
Penggubalan RUU Tribunal Anti-Buli antara cadangan diteliti dalam Mesyuarat Mengenai Usaha-usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia, semalam. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata jelajah itu akan dimulakan di Kuala Lumpur.

“Azalina menyatakan beliau akan melaksanakan sebuah ‘roadshow’ (bagi) mengadakan sesi pertemuan atau ‘town hall’ dengan pelbagai pihak bermula di Kuala Lumpur dan akan jelajah ke setiap negeri untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas orang awam dan pihak berkepentingan.

“(Ini) mengenai cadangan dan usaha untuk menambah baik bersama…ada proses undang-undang dan juga mekanisme yang melibatkan tribunal antibuli,” kata menteri komunikasi dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Penggubalan RUU Tribunal Anti-Buli antara cadangan diteliti dalam Mesyuarat Mengenai Usaha-usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia, semalam.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) memaklumkan mesyuarat turut meneliti aspek memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada dengan memasukkan elemen pemulihan dan perlindungan kanak-kanak bagi memastikan sistem perundangan diamalkan tidak hanya berfokus kepada aspek penghukuman.

Turut dibincangkan penggunaan pendekatan ‘whole-of-government’ untuk memastikan usaha pencegahan buli dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, komuniti setempat dan ruang maya

Sementara itu, Fahmi berkata maklumat terperinci berhubung masa dan lokasi jelajah akan dimaklumkan pejabat Azalina.

Beliau berkata, Azalina memaklumkan antara perkara dibangkitkan pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) adalah keperluan hadkan usia bagi tribunal antibuli kepada 18 tahun.

Semalam, Azalina berkata kerajaan bersepakat menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli yang dipengerusikan olehnya.

BHEUU Jabatan Perdana Menteri menjelaskan penubuhan jawatankuasa khas itu dilaksanakan bagi menyelaras tindakan holistik dan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian serta agensi, susulan mandat Jemaah Menteri pada 29 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.