
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata rayuan tersebut akan difailkan dalam masa terdekat.
“Selepas mempertimbangkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, jabatan ini akan memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan melepaskan dan membebaskan Wan Azri tanpa membela diri,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali melepas dan membebaskan Wan Azri selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Wan Azri, 42, didakwa pada Januari 2024 di bawah Akta Hasutan 1948 kerana membuat kenyataan mendakwa kerajaan ‘pro-Israel dan pro-Barat’.
Kenyataan itu didakwa dibuat dalam satu video di Facebook pada 8 Nov 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P Kunyalam, manakala Wan Azri diwakili peguam Rafique Rashid Ali.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan.