Sukhoi Su-30MKM boleh beroperasi hingga 2035, kata panglima TUDM

Sukhoi Su-30MKM boleh beroperasi hingga 2035, kata panglima TUDM

Muhamad Norazlan Aris berkata pesawat tempur itu masih relevan, dalam keadaan baik dan boleh diguna 10 tahun lagi jika komponen diselenggara ikut jadual.

Muhamad Norazlan Aris (tengah) mencipta sejarah menjadi panglima tentera udara pertama mengetuai persembahan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya Ahad lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Panglima Tentera Udara (PTU), Muhamad Norazlan Aris, berkata semua pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM masih boleh beroperasi dengan baik sehingga 2035.

Walaupun sudah berusia 18 tahun, katanya, pesawat itu masih relevan dan dalam keadaan baik serta boleh diguna pakai sekurang-kurangnya 10 tahun lagi jika komponennya diselenggara mengikut jadual.

Beliau yang menerbangkan Sukhoi Su-30MKM pada persembahan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya Ahad lalu berkata, keadaan pesawat dikendalikannya masih sama seperti kali pertama beliau memandunya selepas menjalani latihan di Zukovsky, Moscow pada 2007.

“Saya antara empat juruterbang kumpulan pertama yang membawa pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM pada 2007 dan kemampuan pesawat itu masih sama hingga kini.

“Bagi pesawat pejuang, tempoh minimum boleh beroperasi adalah 20 tahun, tetapi ia boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun atau lebih, jika penyelenggaraan dilakukan dengan baik dan dinaik taraf,” katanya menurut Berita Harian.

Norazlan mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi PTU pertama mengetuai persembahan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya, yang turut membuktikan kemampuannya menerbangkan pesawat tempur super maneuverable dwi-enjin Su-30MKM.

Beliau dilantik PTU ke-21 Jun lalu dan mendahului formasi udara menampilkan 30 aset udara negara kelmarin.

Sebelum ini, media melaporkan program Pelanjutan Hayat Kapal (SLEP) Sukhoi Su-30MKM oleh Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) membolehkan pesawat itu beroperasi dengan baik untuk 10 tahun lagi selepas penyelenggaraan.

Dalam perkembangan lain, Norazlan berkata, beliau akan diberikan taklimat minggu depan berhubung siasatan awal insiden membabitkan pesawat F/A-18D Hornet di Pangkalan Udara Kuantan bulan lalu.

Menurutnya, enjin pesawat itu sudah dibawa balik ke Butterworth dan siasatan memfokuskan tiga aspek, iaitu kemungkinan bendasing (FOD), gangguan burung (birdstrike) atau masalah enjin pesawat.

“Untuk mengetahui punca kemalangan ini, kita memerlukan pandangan pakar kerana siasatan sangat teknikal.

“Selagi hasil siasatan lengkap tidak dikeluarkan, operasi tujuh pesawat F/A-18D Hornet akan terus digantung kerana kita tidak mahu memperjudikan nasib juruterbang yang mengemudi pesawat tempur itu.”

Pada 21 Ogos lalu, sebuah pesawat F/A-18D Hornet terhempas ketika hendak berlepas di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

Susulan itu, lembaga penyiasat ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggantung sementara operasi penerbangan pesawat model itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.