Rayuan Anwar rujuk persoalan saman Yusoff Rawther didengar 4 Mac

Rayuan Anwar rujuk persoalan saman Yusoff Rawther didengar 4 Mac

Mahkamah Tinggi sebelum ini tolak permohonan untuk rujuk lapan persoalan undang-undang berkait saman itu ke Mahkamah Persekutuan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim merayu keputusan Mahkamah Tinggi tidak membenar lapan persoalan undang-undang berkait saman itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Mac depan untuk mendengar rayuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak merujuk lapan persoalan undang-undang daripada saman difailkan bekas pembantunya, Yusoff Rawther ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Yusoff, Rafique Rashid Ali, berkata mahkamah juga menetapkan 19 Feb 2026 untuk pengurusan kes.

“Responden (Yusoff) mengarahkan kami untuk menulis kepada presiden Mahkamah Rayuan bagi memohon tarikh pendengaran yang lebih awal, memandangkan kes ini melibatkan litigasi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.

Rafique berkata rayuan itu sepatutnya diselesaikan segera kerana ia hanya membabitkan persoalan undang-undang, dan rekod rayuan sudah pun difailkan sepenuhnya.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Anwar menangguhkan prosiding saman sivil bekas pembantu penyelidiknya itu berhubung dakwaan serangan.

Penangguhan itu sehingga keputusan dibuat berhubung rayuan perdana menteri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan merujuk lapan persoalan undang-undang dalam saman itu ke Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Ruzima Ghazali berkata penangguhan wajar diberikan kerana Anwar menunjukkan wujud keadaan istimewa.

Perdana menteri mahu mahkamah tertinggi menentukan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan terhad daripada saman yang difailkan Yusoff empat tahun lalu.

Pada 4 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain berkata tiada satu pun persoalan dalam permohonan itu melepasi ambang yang ditetapkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata permohonan itu tersalah tafsir mengenai bidang kuasa mahkamah, selain berasaskan doktrin spekulatif tanpa asas perlembagaan.

Dengan menolak permohonan Anwar, beliau mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tujuh hari dari 16 hingga 25 Jun.

Saman Yusoff berkaitan insiden yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada 22 Nov 2022.

Yusoff, cucu kepada mendiang aktivis pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris, mendakwa beliau diserang di kediaman Anwar di Segambut pada Oktober 2018.

Anwar menafikan dakwaan itu dan telah memfailkan saman balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.