
Tumpuan lain pada masa ini, katanya, adalah berganjak daripada sistem subsidi pukal kepada sistem subsidi bersasar.
Beliau berkata sebagai contoh subsidi tarif elektrik yang diperkenalkan pada Julai 2025 yang telah memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dengan penurunan bil elektrik sehingga 14%.
“Sebanyak 85% daripada rakyat Malaysia tidak terkesan (dengan penyasaran subsidi elektrik).
“Jadi dengan menukar cara kita mengadakan penyasaran subsidi, kita dapat mengurangkan beban fiskal (negara),” katanya pada sidang Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohammad Redzuan Othman mengenai langkah kerajaan dalam menyantuni golongan M40 berikutan peningkatan kos hidup.
Selain itu, mengulas pertanyaan penilaian semula jumlah isi rumah mengikut kategori seperti tempat tinggal, jumlah tanggungan dan perbelanjaan tetap bulanan dalam penyasaran subsidi, Amir Hamzah berkata walaupun lebih terperinci, Kementerian Kewangan mengakui kerumitan kaedah berkenaan dalam menentukan setiap isi rumah.
“Berikutan itu, kementerian belum sedia untuk melaksanakannya untuk masa sekarang.
“Kerajaan akan teruskan dengan penyasaran subsidi cara lain dan bantuan-bantuan lebih bersasar sebagai intervensi pada masa sekarang,” katanya.